Isu GB tidur dalam stor, sekolah telah dinaik taraf – KPM

Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil tindakan bagi menambah baik akses dan fasiliti pendidikan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah.

Ini kerana kata KPM, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan kesejahteraan guru, murid dan seluruh warga sekolah.

Tangkap layar Tik Tok GB sK Ulu Ansuan

“KPM cakna mengenai video tular seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah yang tidak mempunyai kediaman dan terpaksa tinggal di sekolah.

“Kerja-kerja pembinaan melibatkan pembinaan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot sedang rancak berjalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, KPM berkata, SK Ulu Ansuan juga telah diluluskan untuk pembinaan empat unit kuarters baharu semasa pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.

Jelasnya, kesemua projek penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM12.5 juta.

“Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di sekolah tersebut pula, KPM telah siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan RM200,000.

“KPM terus tekad untuk menambah baik akses dan fasiliti di semua sekolah di seluruh negara yang memerlukan perhatian bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah terpelihara,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan, seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan Ulu Ansuan, Telupid, Sabah dikenali sebagai Cikgu George Odol menunjukkan stor sekolah di mana ia merupakan tempat tinggalnya selama lebih tiga tahun sepanjang bertugas sebagai seorang guru.

Kata guru tersebut, pada tahun 1999 ketika sekolah itu dibina, guru-guru terpaksa tinggal di rumah orang-orang kampung dan kelas yang diubah suai kerana tiada rumah guru disediakan.

“Kemudian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah membina dua buah rumah yang ‘ala kadar’ sahaja. Ketika saya ditugaskan di sekolah tersebut pada tahun 2020, saya terpaksa tinggal di stor prasekolah dengan keluasan 144 kaki persegi,” ceritanya. – KOSMO! ONLINE
Previous Post Next Post