Mercun: Murid hancur tiga jari, pecah gegendang telinga


BACHOK: Seorang pelajar Tingkatan 2 di Beris Kubor Besar, di sini hilang tiga jari selain pecah gegendang telinga akibat bermain mercun, petang semalam. 

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, mangsa yang berusia 14 tahun hilang ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah dan dirujuk kepada doktor pakar telinga.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian tangan kanan akibat bahan letupan dan kesan luka di leher akibat percikan bahan bakar.

"Mangsa dipercayai bermain mercun bola di hadapan rumahnya di Kampung Lembah, Beris Kubur Besar, petang semalam.

"Dia dipercayai tidak sempat membaling mercun itu dan meletup (di tangan)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Ismail berkata abang mangsa kemudiannya membawa pelajar berkenaan ke Klinik Kesihatan Beris Kubor Besar, Tawang.

"Mangsa dilaporkan stabil dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, mangsa sudah menjalani pembedahan membuang ketiga jarinya itu dan kini dalam pemerhatian pakar.

"Sehingga kini tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian.

"Polis berharap masyarakat ambil berat keselamatan diri serta orang lain dan tidak bermain mercun," katanya.

Post a Comment

0 Comments