Sekolah diarah semak sijil digital vaksinasi guru


AYER MOLEK: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan semua sekolah menjalankan pemeriksaan ke atas sijil digital vaksinasi setiap guru bagi memastikan tenaga pengajar lengkap vaksinasi.

Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia bagi mengelakkan kumpulan guru yang masih enggan divaksinasi melakukan penipuan.

“Mulai hari ini, pihak sekolah akan memeriksa sijil digital vaksinasi bagi memastikan hanya guru-guru yang sudah menerima vaksin lengkap datang mengajar.

“Kita tidak mahu ada kes tertentu yang mana ada (guru) kata sudah divaksinasi tetapi sebenarnya tidak.

"Jadi setiap guru akan disemak sijil vaksinasi mereka oleh pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata langkah itu sejajar dengan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang akan mengambil tindakan tatatertib ke atas semua penjawat awam yang enggan divaksinasi bermula hari ini.

Melalui semakan dan pemeriksaan pihak sekolah itu, jelasnya, pihak kementerian akan memperoleh data tepat terhadap maklumat guru yang enggan menerima vaksin.

Sebarang bentuk tindakan yang akan diambil selepas itu, katanya, adalah berdasarkan data berkenaan dan sejak pekeliling JPA dikeluarkan, bilangan guru yang enggan divaksinasi menunjukkan pengurangan.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPA), dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melakukan pemeriksaan mengejut ke setiap sekolah untuk memastikan sistem pengudaraan di bilik darjah dan guru mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita memang minta pihak JPN dan PPD supaya turun ke sekolah, jangan maklum pada pihak sekolah yang mana mereka perlu turun pada bila-bila masa sahaja.

“Ia untuk pastikan bahawa segala tatacara yang telah ditetapkan dalam garis panduan yang kita sediakan itu dapat dipatuhi dengan baik, khususnya berkaitan dengan pengudaraan,” tambahnya.

Jelas beliau, sistem pengudaraan di bilik darjah adalah komponen penting dan ia perlu digunakan di sekolah pada tahap optimum.

Post a Comment

0 Comments