Permudahkan urusan murid, tidak wajib pakai uniform sekolah - Dr Radzi



KUALA LUMPUR: Pihak sekolah hanya perlu membenarkan pelajar mengenakan pakaian kemas dan tidak mewajibkan mereka untuk memakai pakaian seragam jika terdapat kekangan terutama bagi keluarga tidak berkemampuan. 

 Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memahami situasi yang dihadapi ibu bapa kini khususnya mereka yang mempunyai jumlah ahli keluarga besar atau kurang berkemampuan untuk membeli kelengkapan sekolah masa kini. 

 Sehubungan itu, katanya, pihak sekolah sewajarnya memudahkan pelajar dengan membenarkan mereka memakai pakaian kemas dan sopan. "Ada ibu bapa datang mengadu, sekolah anak mereka minta murid mengenakan pakaian seragam lengkap. 

KPM membenarkan murid untuk memakai pakaian kemas dan sopan. Kita memahami ada anak-anak yang membesar cepat dan kelonggaran ini diberikan sehingga hujung tahun ini. 

 "Pihak sekolah tidak sewajarnya meletakkan syarat wajib kepada murid mengenakan pakaian lengkap sekolah ketika ini kerana kita faham bebanan yang dialami keluarga untuk menyediakan secara sekali gus," katanya dalam rakaman audio sidang media ketika membuat tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Semaseh di Panchor, Pagoh, Johor, hari ini. 

 Radzi membuat tinjauan sekolah sekitar Pagoh dan Ledang sebelum sekolah di Johor beroperasi mengikut ketetapan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Semalam, lebih 1.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah bagi tiga negeri yang sudah beralih ke Fasa 4 PPN memulakan sesi persekolahan, iaitu di Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya. 

 Radzi berkata, setakat ini lebih 1.3 juta murid hadir ke sekolah seluruh negara dan keadaan dilihat berjalan dengan baik. 

 "Alhamdulillah dan insya-Allah bermula 8 November ini, murid kelas peperiksaan akan hadir tanpa penggiliran untuk sekolah yang capai vaksinasi melebihi 90 peratus seluruh negara. Jadi minggu hadapan, kita akan lihat lebih ramai murid hadir ke sekolah," katanya.

Post a Comment

0 Comments