Header Ads Widget

Tidak perlu cuti tambahan - NUTP

PERTAMBAHAN cuti sekolah akhir tahun disifatkan akan merencatkan perancangan ke arah melancarkan proses penurunan ilmu kepada murid yang sudah lama tidak ke sekolah semasa kemuncak krisis Covid-19 kira-kira dua bulan lalu.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya berpandangan bahawa takwim yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) adalah bersesuaian dan wajar dikekalkan.


"Dalam keadaan sekarang, peruntukan masa sedia ada mencukupi untuk guru-guru bercuti dalam tempoh tiga minggu semasa cuti akhir tahun mengikut takwim sesi persekolahan sedia ada.


"Cuti yang diperuntukkan ini cukup dengan syarat tiada gangguan atas sebab-sebab yang tidak munasabah daripada pihak pentadbir sama ada di peringkat sekolah, pejabat pendidikan daerah (PPD), jabatan pendidikan negeri (JPN) atau kementerian sendiri," katanya kepada Majoriti.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang meminta KPM memberikan cuti tambahan selama satu minggu lagi untuk cuti sekolah akhir tahun.


Maszlee dalam sidang akhbar di Parlimen pada Selasa memaklumkan, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada guru-guru yang mahu kerajaan mempertimbangkan permintaan tersebut susulan kebenaran rentas negeri sejak Isnin.


Sementara itu, Aminuddin berkata, guru-guru dan murid-murid kini amat memerlukan masa untuk menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka secara fizikal bagi mengelakkan isu keciciran.


"Murid-murid dan guru-guru telah melalui PdP yang amat mencabar dan sukar melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).


"Jadi, sesi bersemuka perlu bagi membolehkan proses baik pulih terhadap sebarang kelemahan semasa PdPR yang sedang berlangsung," katanya.


Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, cuti akhir tahun bagi sesi persekolahan tahun ini akan bermula pada 10 dan 11 Disember hingga 31 Disember mengikut negeri.


— Majoriti

Post a Comment

0 Comments