SK Seberang Ramai catat sejarah di peringkat antarabangsa

KUALA PERLIS: Program Literasi Kemilau oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai, Kuala Perlis, mencatat sejarah manis buat warga sekolah itu apabila layak menyertai acara pendidikan antarabangsa, T4 World Education Week 2021.

Guru Besarnya, Zubir Ghazali berkata, SK Seberang Ramai menjadi satu-satunya sekolah rendah di negara ini yang terpilih bersama 99 lagi sekolah di seluruh dunia bagi menyertai T4 World Education Week 2021, tahun ini.

Beliau berkata, penyertaan dalam acara antarabangsa berkenaan membolehkan SK Seberang Ramai berkongsi kepakaran serta kejayaan program itu melalui platform T4 World Education Week 2021 bagi faedah dunia pendidikan secara keseluruhannya.

Katanya, Program Literasi Kemilau dilancarkan pada Mac tahun lalu bagi meningkatkan literasi dalam kalangan pelajar di sekolah berkenaan dan penyertaan melalui T4 World Education Week turut disokong Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Jabatan Pendidikan.

"Program ini diadakan bertujuan meningkatkan keupayaan pelajar untuk membaca serta menulis dan ia dilancarkan dengan kerjasama murid, ibu bapa serta komuniti setempat.

"Pencapaian serta kejayaan dilakar melalui pelaksanaan program berkenaan menarik minat T4 World Education Week 2021 sekali gus melayakkan SK Seberang Ramai mempromosi usaha sekolah ini di peringkat antarabangsa," katanya kepada BH.

T4 World Education Week 2021 adalah platform media digital antarabangsa yang ditubuhkan sebagai tindak balas kepada cabaran terpaksa dihadapi dunia pendidikan disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.


Selain SK Seberang Ramai, turut menjadi wakil negara bagi menyertai T4 World Education Week tahun ini, ialah dua sekolah menengah masing-masing di Kuala Lumpur dan Perak.

Menurut Zubir, sejak ditubuhkan pada 1998, ini kali pertama SK Seberang Ramai menyertai program antarabangsa dan tidak disangka, ia membolehkannya menjadi wakil tunggal sekolah rendah di negara ini berada dalam senarai 100 sekolah yang terbabit.

Beliau berkata, penyenaraian SK Seberang Ramai menjadi pemangkin buat warga sekolah untuk mencatat lebih banyak kejayaan dan pencapaian di masa hadapan.

"Saya sangat bersyukur dengan pencapaian ini dan berharap ia menjadi langkah permulaan untuk SK Seberang Ramai mencipta lebih banyak kejayaan.

"Diharapkan ia juga dapat menjenamakan sekolah ini di peringkat kebangsaan dan antarabanga," katanya.

Post a Comment

0 Comments