Pelaksanaan gaji minimum mengikut kawasan perlu kajian mendalam - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR : Penetapan gaji minimum yang lebih khusus mengikut kos sara hidup berbeza di setiap kawasan masih dalam kajian kerajaan. 


Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pelaksanaannya perlu melalui kajian mendalam termasuk mengambil kira aspek demografi dan konsep sara hidup. 

"Kajian telah dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan pihak kita di bawah agensi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuat kajian, begitu juga dengan Khazanah Research Institute. 

"Kita perlu melihat dari segi kawasan, demografi dan ada konsep yang disebut living wage. 

"Semestinya RM2,000 di sesetengah kawasan, berbanding di tengah-tengah bandar adalah berbeza. Jadi kita memerlukan ukuran kuasa pembelian merentasi pelbagai kawasan," katanya. 

Ujar beliau lagi, perkara itu akan terus diteliti dan kajian juga telah dijalankan. 

Bagaimanapun, kata beliau, kajian mengenainya perlu diperkembangkan dari segi pelaksanaannya nanti. 

"Kadang-kadang purata itu sudah tinggi di sesetengah kawasan terutamanya sistem sokongan sudah tersedia di kawasan-kawasan itu. 

"Ini (kajian) yang perlu kita lakukan. Ianya (pelaksanaannya) bergantung kepada masa," jelas beliau. 

Berkata demikian dalam program Common Sense @ AWANI menjelang pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober ini.

Post a Comment

0 Comments