PdPR diceroboh, polis buka kertas siasatan



POLIS sudah membuka lima kertas siasatan berhubung kes pelajar menjadi mangsa gangguan ketika menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Perkara tersebut disahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan kepada mStar.

"Kita ada menerima laporan di Selangor, setakat ni ada lima kes semua kita buka kertas siasatan di bawah amang seksual non-fizikal dan menyalahgunakan rangkaian dan menyebar bahan lucah.

"Kes di Selangor sama seperti artikel (laporan mStar mengenai pelajar diganggu), semasa kelas PdPR ada seseorang kongsikan imej lucah.

"Mereka guna emel yang ada tulis MOE (Ministry of Education) tapi semakan yang dibuat mendapati bahawa ID tersebut tak tersenarai dalam list MOE, jadi kita percaya mereka ini hackers.

"Polis kini sedang menyiasat pemilik emel tersebut," katanya.

Menurut Siti Kamsiah, alamat emel yang digunakan penceroboh terbabit adalah emel peribadi dan bukannya didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jelasnya pihak polis percaya aktiviti ini dilakukan oleh kumpulan penggodam.

"Kita percaya ini kerja hackers, walaubagaimanapun polis masih sedang menyiasat," katanya.

Ditanya mengenai kewujudan grup-grup Telegram yang berkongsi maklumat serta pautan PdPR bagi tujuan untuk menimbulkan kekacauan ini, Siti Kamsiah berkata, polis akan menjalankan siasatan mengikut seksyen bersesuaian.

"Kalau kita dapat maklumat mengenai grup-grup Telegram atau media sosial yang lain, kita akan jalankan siasatan mengikut seksyen kesalahan yang bersesuaian," jelasnya.

mStar sebelum ini melaporkan mengenai kegusaran ibu bapa serta guru-guru apabila sesi PdPR yang sedang berlangsung sering diceroboh dan diganggu oleh pihak yang tidak dikenali.

Guru-guru yang berkongsi pengalaman dengan mStar mendakwa sesi pengajaran mereka terganggu apabila ada sekumpulan individu yang tidak dikenali menceroboh masuk bagi membuat bising, berkongsi imej lucah serta mengganggu murid-murid lain khususnya pelajar wanita.

Jelas guru-guru terbabit, walaupun diusir keluar, penceroboh terbabit tetap boleh masuk semula kedalam sesi PDPR yang sedang berlangsung memandangkan mereka menggunakan emel KPM yang disediakan untuk setiap pelajar.

Semakan mStar juga mendapati wujudnya beberapa kumpulan di Telegram dengan pelbagai nama antaranya Zoom Raiders, yang aktif berkongsi link sesi PdPR yang bakal berlangsung bagi mengajak ahli kumpulan terbabit membuat gangguan.

mStar telah menghubungi KPM termasuk Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin namun masih belum menerima maklum balas.

Post a Comment

0 Comments