Murid kelas peperiksaan dibenar hadir ke sekolah tanpa penggiliran - Dr Radzi Jidin

Putrajaya - Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin hari ini membenarkan murid kelas peperiksaan untuk hadir ke sekolah tanpa penggiliran. Perkara tersebut dimaklumkan di dalam satu kenyataan melalui laman Facebook beliau.

"KPM memahami bahawa kehadiran murid secara penggiliran khususnya bagi murid kelas peperiksaan perlu diteliti dari semasa ke semasa kerana terdapat keperluan untuk mereka membuat persediaan yang secukupnya bagi menduduki peperiksaan.

"Perkara ini juga sering dibangkitkan semasa saya mengadakan sesi libat urus bersama pentadbir sekolah, guru dan ibu bapa. Begitu juga ketika saya berjumpa dengan murid kelas peperiksaan semasa lawatan ke sekolah dan asrama.

"Dalam hal ini, KPM dan KKM sentiasa bekerjasama rapat memantau kadar vaksinasi murid, khususnya kelas peperiksaan. Ini bagi membolehkan KPM mengatur strategi yang sesuai untuk kumpulan murid ini," katanya.

Beliau berkata, setelah mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan yang sebahagian besarnya telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90% atau lebih, dengan itu KPM memutuskan untuk membenarkan mereka kembali ke sekolah tanpa penggiliran bermula 8 November ini.

Menurutnya lagi, keputusan itu telah dibuat setelah berbincang dengan KKM dan MKN.

"Berikut saya kongsikan kenyataan media KPM mengenai pemakluman kehadiran murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa tanpa penggiliran.

"Turut dilampirkan dalam kenyataan media tersebut adalah senarai institusi pendidikan bawah KPM yang masih belum mencapai kadar vaksinasi 90% dan ke atas. Kehadiran murid di sekolah tersebut masih perlu diteruskan secara penggiliran," jelas beliau.

Post a Comment

0 Comments