Lepasan ijazah kerja pekerjaan lepasan SPM amalan tidak sihat - Pensyarah



SHAH ALAM - Menjadi impian setiap graduan universiti dan kolej yang menamatkan pengajian untuk mendapatkan kerjaya yang menjanjikan imbuhan setimpal dengan kelayakan dimiliki. 

Malangnya, tidak semua bernasib baik memperoleh kerjaya idaman terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 yang menjejaskan pasaran kerja di Malaysia. 

Mengulas dilema tersebut, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, isu ‘rebut’ kerja tidak menjadi kesalahan namun perkara itu tidak harus dibiar berlanjutan. 

“Tidak menjadi satu kesalahan apabila siswazah pada masa kini terpaksa ‘merebut’ peluang pekerjaan lepasan (Sijil Peperiksaan Malaysia) SPM, namun kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk menambah peluang pekerjaan,” ujar Anuar kepada Sinar Premium. 

Jelas beliau, pandemik Covid-19 menyekat perkembangan ekonomi sekali gus menyebabkan siswazah terpaksa mencari apa saja opsyen pekerjaan demi meneruskan kehidupan selepas tamat pengajian. 

“Sebelum pandemik Covid-19 melanda, siswazah mempunyai pilihan pekerjaan yang agak terbuka sehingga ada yang memilih-milih pekerjaan. Namun kini apa saja peluang pekerjaan yang ada terpaksa diterima. 

“Malah kebanyakan siswazah beralih arah sektor ekonomi gig seperti e-hailing dan penghantaran makanan,” ujar Anuar lagi. 

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini berkata, siswazah kini terpaksa merebut peluang pekerjaan yang disediakan kepada lepasan SPM kerana kekurangan peluang kerja. 

Disyorkan artikel berkaitan ini: Bilangan Siswazah menganggur naik 4.4 peratus, gaji turun 10.6 peratus 

“Pada tahun 2020 sebanyak 1.89 juta lepasan siswazah bekerja dalam sektor separa mahir dan tanpa kemahiran. Ini merangkumi 37.4 peratus jumlah pekerja yang mempunyai kelayakan lepasan ijazah,” kata Shafie. 

Dalam pada itu, tambah Anuar, isu pekerjaan melibatkan siswazah menganggur yang akhirnya terpaksa ‘merebut’ peluang kerja lepasan SPM boleh ditangani sekiranya terdapat perancangan jelas bagi memastikan siswazah tidak tercicir ketika mahu memasuki alam pekerjaan terutama selepas pandemik reda. 

“Kalau mengikut kajian trend siswazah, selepas tiga tahun meninggalkan universiti sekiranya tidak mengaplikasi apa yang dipelajari, kemahiran akan menurun dan perlu kepada latihan semula. Kita tidak boleh membiarkan terlalu lama waktu senggang daripada tempoh graduasi sehingga mula bekerja. 

“Ia juga boleh dikira sebagai pembaziran waktu dan perbelanjaan serta kerugian daripada segi kemahiran apabila telah lama tamat belajar, namun akhirnya melakukan kerja yang lari daripada bidang asal,” ujarnya lagi

Post a Comment

0 Comments