Kerajaan setuju kaji sistem saraan baharu ganti SSM - Menteri


KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju supaya satu kajian dibuat berkenaan bagi menentukan struktur baharu saraan perkhidmatan awam bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan sejak tahun 2002.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kajian ini perlu mengambil kira faktor-faktor berkaitan, antaranya paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 serta dasar semasa.

"Usaha ini adalah bagi memastikan pakej saraan diterima penjawat awam sentiasa relevan dengan keperluan perkhidmatan awam supaya penyampaian yang diterima rakyat cekap dan berkualiti," katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Senator Seruandi Saad di Dewan Negara, hari ini.

Seruandi bertanya sama ada kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji 1.6 juta penjawat awam serta elaun berkaitan sebagai salah satu insentif menghargai pengorbanan mereka khususnya petugas barisan hadapan membantu menguruskan pandemik COVID-19.

"Dalam hal ini, kewajaran bagi menaikkan gaji serta kadar elaun tertentu akan mengambil kira keseluruhan jumlah emolumen diterima penjawat awam dan turut bergantung kedudukan kewangan semasa kerajaan," kata Abd Latiff.

CUEPACS sebelum ini dilapor mencadangkan kerajaan menyemak semula SSM bagi memenuhi keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, kajian semula SSM perlu dilakukan dengan segera memandangkan skim digubal berdasarkan keadaan ekonomi dan sara hidup sekitar tahun 2002 dan ia boleh dianggap tidak relevan dengan ekonomi semasa.

Sementara itu, Abd Latiff berkata, kerajaan sentiasa peka terhadap kebajikan penjawat awam dengan mengambil kira keadaan ekonomi dan sosial semasa yang sentiasa berubah-ubah sehingga mempengaruhi peningkatan kos sara hidup.

"Atas prihatin dan menghargai sumbangan penjawat awam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan, kerajaan meluluskan pemberian Elaun Khas COVID-19 sebanyak RM600 bagi pegawai perubatan dan RM200 bagi lain-lain penjawat awam yang terbabit secara langsung membendung penularan wabak COVID-19.

"Pemberian elaun khas ini di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 adalah satu bentuk penghargaan daripada kerajaan terhadap pengorbanan dan jasa penjawat awam terbabit di barisan hadapan," katanya.

Post a Comment

0 Comments