Guru maut dalam perjalanan ke sekolah

KENDERAAN mangsa yang remuk selepas
dirempuh lori dalam kejadian di
Simpang Tiga Alor Gajah Lama, pagi tadi.


ALOR GAJAH 25 Okt – Seorang guru yang sedang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori dalam kejadian di Simpang Tiga Alor Gajah Lama, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi tadi, Sakura@Muna Sakura Muhammad, 54, mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Honda City dari arah Taman Nuri dipercayai melalui simpang tiga itu menuju ke arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal.

Ketika sedang keluar dari simpang, datang sebuah lori dari arah Krubong menghala ke Nyalas yang tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kanan kenderaan mangsa.

“Akibat rempuhan itu kereta mangsa terseret sejauh lebih enam meter dari lokasi pelanggaran.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kenderaan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Post a Comment

0 Comments