Bank Negara 'terlepas pandang' punca syarat tambahan moratorium dikenakan

09:24:00
Perubahan terbaru prosedur untuk mendapatkan moratorium pinjaman selama enam bulan bagi perjanjian sewa beli nampaknya berlaku disebabkan oleh "kealpaan" Bank Negara.

Ekoran pengumuman mengenai moratoria "automatik" terhadap semua pembayaran pinjaman dan pembiayaan pada 25 Mac lalu, Bank Negara hari ini mengumumkan bahawa dokumentasi tambahan diperlukan untuk menangguhkan pembayaran sewa beli dan pembiayaan Islamik.

Dalam kenyataannya lewat malam ini, Bank Negara menjelaskan, peminjam untuk dua kategori pembiayaan itu tidak perlu membuat permohonan untuk penangguhan, namun masih perlu melengkapkan dokumen untuk memberikan kebenaran yang sah buat moratorium dilaksanakan.

"Selepas itu, pihak bank akan menghubungi peminjam mengenai langkah mudah selanjutnya," kata bank pusat itu.

Katanya kenyataan media malam ini dibuat untuk menangani isu-isu prosedur yang mempunyai kesan undang-undang kepada moratorium yang dilaksanakan sebagai memenuhi keperluan Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan syariah.

Sementara itu sumber yang mengetahui hal tersebut memberitahu, untuk pinjaman sewa beli, prosedur tambahan itu dibuat ekoran "kealpaan" terhadap syarat-syarat yang dinyatakan dalam Akta Sewa Beli 1967.

"Hal ini dibangkitkan selepas pihak bank menjanjikan kepada pelanggan masing-masing bahawa tiada tidak akan ada caj tambahan kepada (penangguhan) pinjaman sewa beli mereka," kata sumber yang enggan didedahkan identitinya itu.

Katanya undang-undang tidak membenarkan perubahan sepihak ke atas pinjaman sewa beli sebelum mendapat izin yang jelas daripada peminjam.

Seksyen 39 Akta Sewa Beli menyatakan setiap perubahan pada perjanjian "tidak akan berlaku kecuali penyewa atau ejennya bersetuju dengan perubahan atau perkara tambahan dengan menandatangani atau memulakan perjanjian".

Seksyen itu menyatakan, pemimjam boleh menyatakan persetujuan dengan menandatangani perjanjian tambahan.

Penjelasan Bank Negara pada malam ini hadir selepas muncul spekulasi di alam maya berhubung kenyataan media terdahulu mengenai arahan kepada bank agar memaklumkan pelanggan masing-masing mengenai perubahan terma perjanjian mereka.

Sumber: Malaysiakini

Share this

Related Posts

Latest
Previous
Next Post »