Guru wanita rugi RM387,000 mangsa Macau Scam

20:38:00
JOHOR BAHRU: Seorang guru wanita berusia 38 tahun, kerugian RM387,000 dipercayai ditipu individu yang menyamar sebagai polis trafik menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung penipuan Macau Scam itu kira-kira jam 11.48 pagi semalam.

Katanya, guru sebuah sekolah rendah itu, menerima panggilan telefon daripada suspek pada 4 Februari lalu, memaklumkan mangsa terbabit dengan kes langgar lari.

“Modus operandi yang dikesan adalah mangsa diarahkan suspek untuk membuka akaun bank yang baharu atas nama mangsa, bertujuan meyakinkan mangsa, wang mangsa adalah ‘selamat’.

“Mangsa diarahkan suspek untuk mendaftar nombor telefon yang tidak dikenali (untuk aktifkan perbankan internet) atas akaun bank yang baharu dibuka, bertujuan ‘mengawal’ akaun bank yang dibuka oleh mangsa.

“Mangsa diarahkan suspek untuk memindahkan semua wang ke dalam akaun bank mangsa yang baharu dibuka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, mangsa juga diarahkan untuk merahsiakan daripada keluarga dan kawan-kawan.

“Suspek mengarahkan mangsa untuk memadamkan perbualan telefon (Whatsapp) dan menghapuskan slip bank yang berkaitan bagi menghilangkan bukti dan keterangan.

“Mangsa tidak menyedari ‘kehilangan’ wang dalam akaun bank kerana suspek ‘mengawal’ akaun bank mangsa melalui perbankan internet.

“Mangsa dalam kes ini mengalami kerugian sebanyak RM387,000 iaitu dipercayai adalah dari duit simpanannya dan pinjaman peribadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman maksimum 10 tahun penjara, sebatan dan denda,” katanya.

Beliau berkata, polis Johor sudah berulang kali menasihatkan orang awam supaya tidak terpedaya dengan penipuan ‘Macau Scam’ dan tidak panik apabila menerima panggilan sebegini.

“Jangan mudah percaya dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon. Jangan sesekali memberikan maklumat peribadi mahupun maklumat akaun bank kepada orang tidak dikenali.

“Agensi penguat kuasa tidak akan sesekali meminta butiran akaun bank dan maklumat peribadi mangsa.

“Polis Johor juga menasihatkan orang awam untuk menyemak laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi mengenal pasti sama ada akaun bank itu terbabit dengan kes penipuan atau menghubungi balai polis berhampiran,” katanya

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »