PPSMI tidak pernah capai objektif ketika pelaksanaanya

22:26:00
KOTA KINABALU: Cadangan untuk memperkenalkan semula program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bajasa Inggeris (PPSMI) yang dibatalkan pada 2010 adalah langkah kebelakang dan regresif, kata seorang pemimpin Umno Sabah hari ini.

Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain berkata, berjuta-juta ringgit peruntukan telah dibazirkan ketika memulakan perubahan drastik itu pada 2003, namun PPSMI gagal mencapai objektifnya.

“Kajian dijalankan oleh Pusat Pembangunan Kokurikulum dan Pengetua Sekolah pada 2005 menunjukkan pelajar di kawasan bandar meraih pencapaian lebih baik daripada kawasan luar bandar semasa PPSMI dilaksanakan pada 2003.

“Ini akan memperluas lagi jurang antara pencapaian pelajar luar bandar dan bandar menyebabkan program itu ditentang dan membawa kepada pembatalannya pada 2010,” katanya.

Aziz berkata, ketidakseimbangan itu memberi kesan besar ke atas pelajar apabila mereka mencapai umur bekerja kerana pelajar luar bandar yang kekurangan akses pendidikan tinggi akan ketinggalan dalam mendapatkan pekerjaan lebih baik.

“Program PPSMI adalah dasar pro bandar. Jika dilaksanakan, ia akan menjadi satu hukuman ke atas pelajar di luar bandar.

“Dalam jangka panjang, ia akan membawa kepada ketidakseimbangan sosio-ekonomi. Paling rugi adalah golongan Bumiputera, yang kebanyakannya tinggal di luar bandar.”

Aziz berkata, “Dasar Bahasa Malaysia Didahulukan, Bahasa Inggeris Diperkukuh” yang diperkenalkan selepas PPSMI pada 2011 adalah memadai bagi menangani masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris.

Katanya, kerajaan perlu merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar terlebih dahulu sebelum negara boleh mencapai kemajuan.

Aziz menggesa Kementerian Pendidikan supaya menggugurkan rancangan PPSMI dan membelanjakan dana yang ada bagi membina lebih banyak sekolah sains berasrama di kawasan luar bandar di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu bagi merapatkan jurang pendidikan bandar-luar bandar.

Beliau berkata, oleh sebab penguasaan bahasa Inggeris penting untuk
pembelalajaran sains dan teknologi, masa tambahan hendaklah disediakan untuk subjek bahasa Inggeris.

Beliau juga mencadangkan pengenalan silibus baru “Bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains” di sekolah di seluruh negara berbanding pelaksanaan proses drastik melibatkan PPSMI.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga pemangku menteri pendidikan berkata, bahasa Inggeris akan dijadikan bahasa pengantar dalam pengajaran sains dan matematik bagi menambah baik penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar.

Menurut kenyataan beberapa menteri hari ini, perkara itu belum diputuskan oleh Kabinet.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »