Tambah Influenza A dalam senarai jenis penyakit berjangkit untuk cuti kuarantin - NUTP

17:02:00
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta kerajaan mempertimbang untuk memasukkan Influenza A ke dalam senarai jenis penyakit berjangkit diberikan kemudahan cuti kuarantin.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, dalam satu kenyataan, hari ini, berkata berdasarkan situasi terkini penularan Influenza A dalam negara, cuti kuarantin perlu diberikan kepada guru dan pelajar yang dijangkiti virus terbabit.

“Merujuk Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016 mengenai kemudahan cuti kuarantin, enam penyakit berjangkit sedia ada ialah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD); demam denggi dan demam denggi berdarah; campak; cacar air; difteria dan malaria,” katanya.

Pekeliling sama turut menyatakan kemudahan cuti kuarantin itu bagi pegawai dalam perjalanan balik ke Malaysia dari luar negara yang ditahan di mana-mana stesen kuarantin oleh pihak berkuasa kesihatan pelabuhan atau lapangan terbang kerana berlaku wabak penyakit berjangkit atau pegawai dikurung di rumahnya oleh mana-mana kuasa kesihatan kerana wabak penyakit berjangkit.

Influenza adalah jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain meliputi sakit kepala, sakit otot, sakit sendi serta kelesuan.

Wabak disebabkan virus influenza bermusim itu hanya menyebabkan demam selesema ringan bagi orang biasa, namun boleh mengakibatkan jangkitan teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang menghidap penyakit kronik. – BERNAMA

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »