Seorang kanak-kanak maut, seorang parah jatuh dari tingkat empat kuarters guru di Gombak

08:50:00
KUALA LUMPUR, 28 Jan - Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala seorang lagi parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kuarters guru di Gombak, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata mangsa berusia tiga dan enam tahun yang merupakan adik beradik itu ditemui ibunya yang baru pulang bekerja di kawasan lapang kuarters itu kira-kira 5.30 petang.

"Ibu mangsa dengan dibantu oleh jiran membawa dua anak perempuannya itu ke Hospital Selayang dan pada 6.02 petang, doktor mengesahkan anaknya berusia tiga tahun telah meninggal dunia.

"Seorang lagi mangsa pula patah tangan serta kaki," katanya ketika dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, ketika kejadian bapa mangsa keluar dan meninggalkan dua beradik itu di dalam rumah.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. - BERNAMA

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »