Panduan Menentukan Bilangan Minggu Akademik Sekolah dan Jadual Waktu KSSR (Semakan)

08:33:00
Seringkali apabila berlakunya pemantauan akademik oleh Jemaah Nazir, antara perkara pokok yang disemak adalah jumlah minggu akademik sesuatu sekolah.
  • Bagaimana ia disusun? 
  • Pukul berapa murid pulang? 
  • Kenapa terlalu lewat? Kenapa terlalu lewat? 
  • Mengapa Rancangan Pengajaran Tahun (RPT) guru ada yang tidak sama dengan jumlah bilangan minggu akademik? Mengapa tidak selari?
Sebagai pentadbir, keselarian perkara-perkara di atas perlu dipertimbangkan bagi memastikan kelancaran proses pdp, serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pengurusan murid dan sekolah.

Jom kita lihat bagaiaman proses penentuan minggu akademik ini secara asasnya dilakukan. Kredit untuk blog Majlis Guru Besar Selangor yang menyediakan teks dan panduan ini di blog mereka.

**********************************

Sebelum memulakan kalender persekolahan, pentadbir perlu menentukan bilangan minggu Kalender Akademik sekolah masing-masing.

 Kalender akademik ialah minggu-minggu yang ditetapkan berlakunya proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (P&Pc) di sekolah. Ini bermakna kini sekolah telah diberi autonomi dalam menentukan corak perjalanan pendidikan di sekolah masing-masing.

Berikut ialah panduan ringkas untuk menyediakan Kalender Akademik.

Tiga perkara asas:
  • Kalender Persekolahan
  • Kalender Akademik Sekolah
  • Muktamadkan Jadual Waktu
    • tetapkan sama ada Tasmik di dalam atau di luar jadual waktu
    • pertimbangkan keperluan tambah/kurang period bagi sesuatu mata pelajaran mengikut kesesuaian dan keperluan sekolah
    • pertimbangkan berdasarkan bilangan guru mengikut opsyen yang ada di sekolah

**********************************

1. KALENDAR PERSEKOLAHAN

Saban tahun akan dikeluarkan edaran pemakluman Penggal Persekolahan seperti contoh di bawah.
Kalender Persekolahan yang dikeluarkan oleh KPM
Minggu Persekolahan = 11 + 9 + 11 + 12 = 43 minggu
Cuti Sekolah = 1 + 2 + 1 + 5 = 9 minggu
Daripada situ pentadbir boleh mula membahagi 43 minggu persekolahan dan 9 minggu cuti sekolah dalam jadual Kalender Persekolahan 2017.

Tentukan tarikh mula dan tarikh akhir bagi setiap minggu untuk memudahkan semakan sekiranya timbul kekeliruan.

Kalender Persekolahan diterjemahkan mengikut minggu-minggu persekolahan oleh sekolah
Nombor minggu perlu jelas dan JANGAN masukkan minggu cuti sekolah (diwakili lorekan warna hitam) dalam kiraan Minggu Persekolahan. Jika disemak semula kiraan minggu dalam jadual di bawah, ia perlu selari dengan siaran Penggal Persekolahan di atas.

2. KALENDAR AKADEMIK

Setelah jadual Minggu Persekolahan disiapkan, dapatkan siaran Cuti Perayaan dan Cuti Umum Persekutuan dan Negeri.

Contoh Takwim Cuti Perayaan yang dikeluarkan oleh KPM
Cuti Kelepasan Am yang berkaitan dengan negeri masing-masing
Masukkan cuti-cuti perayaan tersebut ke dalam jadual Kalender Persekolahan. Seperti di bawah dapat dilihat, 3 cuti perayaan utama (Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali) masing-masing membawa cuti seminggu bagi setiap perayaan tersebut (diwakili warna kelabu). Ini bermakna tiga minggu tersebut tidak berlaku proses P&Pc maka ia tidak boleh diambil kira ke dalam minggu Kalender Akademik.

Masukkan juga cuti-cuti umum (diwakili warna merah) bagi memudahkan dilihat sama ada sesuatu minggu itu terlalu banyak cuti umum selain dari menyenangkan pihak yang ingin merancang takwim aktiviti sekolah.
Berdasarkan surat siaran cuti perayaaan dan cuti umum, ia dimasukkan dalam Jadual Minggu Kalender Persekolahan
Sepintas lalu dapat dilihat sekurang-kurangnya 3 minggu sudah tidak boleh dimasukkan dalam Kalender Akademik kerana sekolah bercuti sempena Cuti Perayaan. Ini bermakna kini bilangan minggu Kalender Akademik yang mungkin ialah hanya 40.

Sekolah perlu memasukkan minggu peperiksaan ke dalam Jadual Minggu Kalender Persekolahan. Misalnya seminggu untuk Peperiksaan Pertengahan Tahun dan seminggu lagi untuk Peperiksaan Akhir Tahun (rujuk jadual di bawah). Maka bilangan Minggu Kalender Akademik yang mungkin hanya berbaki 38 minggu.
Berdasarkan Kalender Persekolahan di atas, pihak sekolah hanya boleh menetapkan maksimum bilangan minggu Kalender Akademiknya ialah 38 (43 - 5 = 38) iaitu setelah ditolak dengan 3 minggu cuti perayaan dan 2 minggu peperiksaan. Katakan sekolah memerlukan 2 minggu lagi untuk urusan pelbagai (misalnya Ujian Bulanan, Hari Anugerah Cemerlang, Sukan, Perkhemahan) maka minggu Kalender Akademik yang boleh dipilih ialah 36 minggu.

3. MUKTAMADKAN JADUAL WAKTU

Setelah ditetapkan bilangan Minggu Kalender Akademik, maka barulah boleh dirancang bilangan masa minimum bagi setiap mata pelajaran seperti yang ditetapkan dalam SPI 8/2016.

Sebelum memulakan kiraan, ada baiknya difahami dahulu tentang maksud petak bagi jadual tahap 1 dan jadual tahap 2 pada masa ini.

Petak sebenarnya merujuk bilangan masa/period dalam jadual waktu. Bagi Tahap 1, pada masa ini (KSSR) bilangan petak seminggu termasuk perhimpunan dan Tasmik ialah 48 sementara bagi tahap 2 pula ialah 52. Sila rujuk rajah di bawah.
Katakan akhirnya kita pilih untuk melaksanakan 36 minggu Kalender Akademik, maka kandungan jadual waktu sekolah kita boleh seperti berikut:
Tahun 1 (Cara kiraan ini terdapat dalam bahan jerayawara KSSR Semakan 2017 oleh BPK)
Bilangan masa seminggu bagi setiap mata pelajaran ialah di lajur C. Misalnya mata pelajaran Bahasa Melayu memerlukan 11 masa seminggu, Bahasa Inggeris pula 9 masa minggu, Matematik 6 masa seminggu dan akhirnya Tasmik 2 masa seminggu. Ini menjadikan jumlah waktu belajar seminggu bagi Tahun 1 ialah 47 waktu.

Lajur E menunjukkan lebihan/kekurangan jam belajar setahun bagi setiap mata pelajaran. Jika dilihat, mata pelajaran Bahasa Inggeris dijangka mempunyai lebihan 2 jam belajar dari masa minimum yang ditetapkan berbanding dengan Matematik dan Pendidikan Agama Islam yang mempunyai lebihan 6 jam setiap satu. Oleh itu penambahan masa bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris mungkin boleh jadi pertimbangan utama bagi sesebuah sekolah untuk memastikan jam setahun dapat dipenuhi.

Jika sekolah bercadang untuk kekal belajar 48 waktu seminggu (sama seperti jadual Tahap 1 2016), maka bolehlah pihak sekolah menambah 1 lagi masa bagi mana-mana mata pelajaran yang dirasakan sesuai dengan sekolahnya.

Namun ambil kira faktor kecukupan guru mata pelajaran yang ingin kita tambah sebelum membuat keputusan. Misalnya andai kata sekolah ini agak lemah dalam Matematik, maka Guru Besar boleh menambah masa belajar 1 masa lagi dalam seminggu bagi mata pelajaran Matematik iaitu bertambah dari 6 masa ke 7 masa seminggu. Maka kini ia akan kelihatan seperti berikut:

Masa Matematik ditambah 1 masa menjadikan masa belajar seminggu ialah 48 masa
Tahun 2 dan Tahun 3
Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6
Bilangan Petak di Jadual Waktu Kelas (termasuk Tasmik) bagi Tahun 1-6 Berdasarkan Bilangan Minggu Kalender Akademik.
Tiga jadual yang berikut menunjukkan keperluan minimum bilangan masa seminggu bagi setiap mata pelajaran untuk Tahun 1 (KSSR Semakan 2017) dam tahun 2 hingga 6 (KSSR).

Jadual ini hanya menunjukkan pilihan bilangan minggu Kalender Akademik dari 35 hingga 40 sahaja.



Share this

Related Posts

Previous
Next Post »