Maszlee letak jawatan bukan sebab banyak buat silap - PM

17:54:00
PUTRAJAYA: Peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan bukan disebabkan beliau melakukan banyak kesalahan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menjelaskan, sepanjang memegang jawatan, Maszlee juga melakukan perkara baik namun beliau menasihati Ahli Parlimen Simpang Renggam itu supaya berundur daripada Kabinet.

"Seperti yang dapat dilihat, (peletakkan jawatan Maszlee) ada banyak alasan. Saya tidak mengatakan bahawa semua perkara yang dilakukannya adalah salah. Ada juga perkara baik yang dilakukannya.

"Tetapi disebabkan oleh alasan lain itu, saya merasakan beliau perlu meletakkan jawatan dan beliau setuju. Jadi beliau meletakkan jawatan.

“Setakat ini, surat yang saya tulis kepada beliau, disiarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Mengulas mengenai pengganti Maszlee, Dr Mahathir berkata jawatan Menteri Pendidikan akan ditentukan olehnya.

"Pengganti Maszlee akan ditentukan oleh saya kerana itu adalah prerogatif saya," katanya.

Perdana Menteri turut menafikan peletakan jawatan Maszlee disebabkan kononnya bekas Menteri Pendidikan itu cuba membuka semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) seperti dilaporkan sebuah portal berita dalam talian hari ini.

Maszlee yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa Khamis lalu selepas mendapat nasihat Dr Mahathir dalam satu pertemuan sehari sebelum itu.

Katanya, peletakan jawatan itu dibuat selepas beliau dilihat banyak menimbulkan krisis kepada kepemimpinan terutama membabitkan isu tulisan Jawi, internet sekolah dan program sarapan percuma.

Maszlee juga berkata, dalam tempoh 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan dengan pelbagai pencapaian, malangnya ia tidak dijadikan tajuk utama tetapi tajuk yang sensasi lebih mewarnai media massa.

Beliau berkata, banyak isu sensitif dan sengaja diperbesarkan lebih menjadi pilihan utama sehingga menjadikan dirinya menteri yang menimbulkan banyak krisis dalam pendidikan.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »