Jangan politikkan isu hiasan Tahun Baru Cina di sekolah - TPM

20:40:00
PUCHONG: Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama beberapa menteri hari ini melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong I yang dibidas sebuah parti Melayu kerana hiasan sambutan Tahun Baru Cinanya, untuk menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga perpaduan negara.

Antara yang hadir ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Luar, Saifudin Abdullah: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Rombongan itu yang tiba pada 4.45 petang disambut Pengetua Rohani Mohd Noor, guru dan sebahagian pelajar sesi petang.

Wan Azizah berkata, hiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina dan perayaan kaum lain di sekolah tidak sepatutnya dijadikan isu.

“Selama kita merdeka, tidak pernah jadi isu tentang tanglung atau perayaan yang kita sambut dalam masyarakat yang majmuk.

“Janganlah sebab ini kita nak pecah belahkan (perpaduan) negara kita,” katanya.
Dr Wan Azizah Wan Ismail menandatangani sebuah tanglung untuk digantung di SMK Pusat Bandar Puchong I sempena ketibaan Tahun Baru Cina pada akhir bulan ini.
Difahamkan, hiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina itu menjadi tradisi SMK Pusat Bandar Puchong I sejak 10 tahun lalu.

Wan Azizah meluangkan 30 minit berjumpa dengan guru dan pelajar di lobi utama sekolah itu yang mempunyai hiasan Tahun Baru Cina itu.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dalam surat yang ditujukan kepada pengetua memaklumkan ia menerima aduan ibu bapa yang tidak selesa dengan hiasan “berlebihan” Tahun Baru Cina di sekolah berkenaan.

Putra dalam surat itu berkata, tindakan sekolah berkenaan bertentangan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana ibu bapa merasakan hiasan terbabit ialah cubaan untuk menyebarkan kepercayaan agama lain kepada pelajar Islam.

Sumber: Free Malaysia Today

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »