Guru TABIKA disamun ketika dalam kelas

07:32:00

MERSING – Seorang guru wanita cedera di bahagian hidung selepas diserang dan disamun seorang individu di sebuah tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Felda Tenggaroh 1, di sini petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 petang ketika guru itu sedang bersendirian selepas pembantu dan murid di tabika berkenaan pulang.

Menurutnya, mangsa berusia 40 tahun kemudiannya didatangi seorang lelaki bertopeng yang bersenjatakan pisau.

“Suspek juga telah melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen peribadi serta sejumlah wang tunai.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian hidung telah dirujuk ke Hospital Mersing bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – Bernama

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »