Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) boleh diperoleh 21 November

13:36:00
PUTRAJAYA, 11 Nov -- Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) bagi murid Tahun 6 boleh diperolehi pada 21 November mulai jam 10.00 pagi di sekolah masing-masing, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata waris dibenarkan untuk mengambil dokumen PPSR sekiranya murid tidak dapat mengambilnya sendiri.

PPSR merupakan suatu dokumen yang melaporkan kejayaan murid pada akhir persekolahan peringkat rendah.

PPSR merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid aliran perdana dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi murid berkeperluan khas (MBK) masalah pembelajaran.

Amin berkata semakan keputusan UPSR dan PASR boleh dilakukan menggunakan perkhidmatan mySMS 15888 dengan menaip UPSR < jarak> AngkaGiliran atau PASR AngkaGiliran dan SMS ke 15888.

“Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10.00 pagi pada 21 November dan akan ditamatkan pada jam 6.00 petang pada 30 November,”katanya.

Semakan juga boleh dilakukan melalui portal Lembaga Peperiksaan di alamat sppat.moe.gov.my/semakan. - BERNAMA

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »