NUTP bantah mesyuarat guru di pertengahan cuti sekolah akhir tahun

14:26:00
SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bantah tindakan segelintir sekolah di negara ini yang merancang untuk mengadakan mesyuarat guru pada pertengahan cuti persekolahan akhir tahun 2019.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, tempoh masa itu dilihat boleh mengganggu program cuti sekolah guru terutamanya untuk bersama ahli keluarga serta sanak-saudara di kampung halaman masing-masing.

"Pihak NUTP mendapat aduan daripada ramai guru memaklumkan pengetua atau guru besar di sekolah masing-masing merancang untuk adakan mesyuarat guru kali pertama sesi persekolahan tahun 2020 pada pertengahan Disember depan.

"Kita sedia tahu bahawa guru-guru di Malaysia sememangnya terbeban dengan kerja-kerja perkeranian dan kerja-kerja yang tidak relevan lain. Jadi, cuti hujung tahun merupakan masa terbaik untuk mereka rehatkan diri di kampung halaman masing-masing atau bercuti bersama keluarga.

"Sekiranya diadakan mesyuarat guru, ia boleh mengganggu percutian dan fokus guru-guru pada keluarga selain perlu habiskan masa serta perbelanjaan untuk kembali ke tempat bertugas asal (jika berlainan negeri daripada kampung halaman) dan kembali semula ke kampung selepas mesyuarat kerana tempoh cuti akhir tahun masih panjang," katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, NUTP merayu semua pengetua dan guru besar di semua sekolah di negara ini mengadakan mesyuarat guru kali pertama tahun 2020 hanya selepas 25 Disember 2019.

Katanya, perkara itu pernah berlaku pada tahun 2016 yang pada masa itu Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi) telah mengeluarkan permintaan agar semua pengetua dan guru besar mengadakan mesyuarat pertama persekolahan 2017 hanya selepas 25 Disember.

"Impak positif daripada permintaan KPM tersebut ialah guru-guru dapat bercuti hujung tahun dalam keadaan tenang dan mereka membalasnya dengan komitmen yang cukup tinggi kepada sekolah apabila sesi persekolahan baru dibuka.

"NUTP juga amat berharap agar Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dapat memberikan sokongan agar semua mesyuarat guru kali pertama sesi persekolahan tahun 2020 di semua sekolah di negara ini hanya diadakan selepas 25 Disember 2019," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, guru-guru akan bercuti akhir tahun bagi sesi persekolahan tahun 2019 ini selama 40 hari dan sebahagian besar daripada guru-guru di Malaysia bertugas di negeri-negeri berlainan daripada kampung halaman mereka.

"Ada juga guru-guru yang bertugas di negeri sendiri tetapi di daerah yang jauh yang hanya membolehkan mereka balik seminggu sekali sahaja ke rumah sendiri. Terdapat juga guru-guru yang berjauhan dan terpisah negeri dengan pasangan masing-masing.

"Hanya pada cuti hujung tahun inilah mereka dapat menumpukan perhatian dan berada dekat dengan keluarga masing-masing, masa terbaik untuk rehatkan diri di kampung halaman atau bercuti bersama keluarga di tempat-tempat percutian," katanya.

Untuk info, sekolah-sekolah di negeri kumpulan A akan memulakan cuti akhir tahun 2019 pada 22 November 2019 dan akan memulakan sesi persekolahan tahun 2020 pada 1 Januari 2020.

Manakala sekolah-sekolah di negeri-negeri kumpulan B akan memulakan cuti akhir tahun 2019 pada 23 November 2019 dan memulakan sesi persekolahan tahun 2020 pada 2 Januari 2020.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »