KPM perjelas salah faham pemansuhan sistem aliran dan pakej mata pelajaran

13:43:00
KUALA LUMPUR - Memandangkan pelajar Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) akan terada di Tingkatan Empat pada tahun hadapan, Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan Pakej Mata Pelajaran Menengah Atas sesuai dengan apa yang dilalui pelajar kohort pertama itu.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum KPM), Dr Habibah Abdul Rahim berkata, sejak tahun 2000 apabila diwujudkan Sistem Pensijilan Terbuka Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiada lagi pembahagian pelajar berdasarkan aliran.

"Apabila kita bergerak daripada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) kepada KKSM, kita ada kurikulum baharu.

"Bagi memudahkan pihak sekolah, KPM mewujudkan pakej tertentu dalam mata pelajaran berdasarkan kesediaan pihak sekolah, guru dan fasiliti," katanya.

Walaupun begitu kata beliau, syarat wajib lulus SPM masih kekal bergantung kepada kelulusan mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Editor berkaitan Penawaran Mata Pelajaran KSSM Tingkatan 4 Tahun 2020 di Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan KPM di Kuala Lumpur hari ini.

Kata Dr Habibah, pemilihan pakej mata pelajaran elektif menengah atas berdasarkan kombinasi yang mempunyai nilai tambah kepada pelajar dalam konteks pembelajaran.

"Pakej ini dibina berasaskan kepada keperluan pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat tertiari seperti universiti, Program Matrikulasi, Program Tingkatan Enam, politeknik, kolej komuniti dan institusi lepasan menengah yang lain.

"Pakej ini juga mengambil kira keperluan badan profesional dan laluan bidang kerjaya yang diminati pelajar," katanya.

Katanya, pelaksanaan pakej itu tidak timbul isu pengasingan pelajar berdasarkan aliran sains dan sastera.

"Perbezaan pelajar adalah berdasarkan pelajaran elektrik mengikut minat dan kecenderungan dalam membantu mereka untuk membuat pilihan mata pelajaran yang sesuai," katanya.

Sehubungan itu, pihak sekolah diberi autonomi dalam menyediakan mata pelajaran pilihan dengan mengambil kira kemudahan sekolah dan kesediaan guru opsyen mata pelajaran berkaitan.

Mata pelajaran yang wajib dipelajari semua pelajar di sekolah kerajaan, sekolah bantuan dan swasta yang dikenal sebagai Teras ialah:

  1. Bahasa Melayu
  2. Bahasa Inggeris
  3. Matematik
  4. Sains
  5. Sejarah
  6. Pendidikan Islam/Pendidikan Moral

Selain itu terdapat juga mata pelajaran Wajib, iaitu Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan manakala Elektif adalah mata pelajaran yang ditawarkan untuk memenuhi bakat, minat, kebolehan dan potensi murid.

Mata pelajaran elektif ini dikategorikan sebagai Bahasa, STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), Pengajian Islam serta Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas.

Dr Habibah berkata, pelajar boleh memilih mata pelajaran Elektif mengikut minat dan kecenderungan dengan mengambil kira pencapaian dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan ujian psikometrik.

"Guru kaunseling dan guru lain perlu memainkan peranan dalam membantu pelajar untuk membuat pilihan mata pelajaran yang sesuai.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »