Penambahbaikan saraan penjawat awam diumum dalam belanjawan

19:43:00
KUALA LUMPUR: Beberapa berita baik diumumkan dalam Belanjawan 2020 bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti 1.6 juta penjawat awam yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan akan menambah baik saraan penjawat awam, selain turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah serta RM250 bagi pesara kerajaan yang turut dipanjangkan kepada veteran tidak berpencen.

Kedua-dua bantuan ini akan dibayar sebelum akhir tahun 2019.

“Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, doktor, jururawat, guru dan semua penjawat awam atas bakti perkhidmatan mereka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas berhubung penambahbaikan saraan penjawat awam, Lim berkata kerajaan akan menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dengan peruntukan tambahan sebanyak RM350 juta setahun.

Beliau berkata, kerajaan juga membenarkan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.

“Menawarkan Perlindungan Kemalangan Diri Berkelompok bernilai RM100,000 secara percuma selama dua tahun kepada peminjam baharu kemudahan pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA),” katanya.

Bagi membantu meringankan beban waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, Lim berkata kerajaan akan memperkenalkan faedah Ex-Gratia Kematian untuk diberikan kepada waris bernilai sehingga RM150,000, selain pemberian Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) diawalkan sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG).

Dalam pada itu, Guan Eng berkata Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan menikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Januari 2020 dengan jumlah peruntukan tambahan RM26 juta.

Sebagai penghargaan kepada perkhidmatan yang telah mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, semua anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat bakal menerima Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan dengan peruntukan RM35 juta bagi 2020, yang memberi manfaat kepada 14,400 anggota bomba.

“Kerajaan menghargai pengorbanan dan keperwiraan anggota tentera, khususnya pemegang Pingat Jasa Malaysia. Oleh itu, bayaran secara one-off sebanyak RM500 akan diberikan kepada hampir 70,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia yang melibatkan peruntukan RM35 juta,” umumnya lagi.

Selaras dengan falsafah 3R (Repair, Replace and Restore), Guan Eng berkata kerajaan akan memperuntukkan RM330 juta kepada Bahagian Pengurusan Hartanah di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membaiki dan menyelenggara kuarters penjawat awam.

Sebagai tambahan, RM150 juta untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan RM250 juta untuk kuarters PDRM juga akan diperuntukkan bagi tujuan sama, katanya. – BERNAMA

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »