Mansuh aliran sastera, sains belum muktamad - Maszlee

08:11:00
PONTIAN: Pemansuhan aliran sastera dan sains bagi pelajar Tingkatan Empat tahun depan belum dijadikan dasar pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya tidak mahu bersikap terburu-buru berhubung pemansuhan aliran berkenaan, sebaliknya giat meneliti segenap aspek libat urus dan penggajian pentadbiran serta tenaga guru.

“Kementerian belum buat apa-apa pengumuman dasar mengenai pemansuhan aliran. Apa yang dilaporkan sebelum ini adalah ucapan saya di Jerman dan cadangan itu dimaklumkan pada satu sesi townhall.

“Bagaimanapun, laporan mengenainya menggambarkan seolah-olah ia pengumuman dasar pendidikan negara, sedangkan ia belum dijadikan dasar dan baru di peringkat cadangan.

“Kita menyebut pada masa depan, kita mahu pelajar tidak terkongkong dengan aliran tertentu semata-mata.

“Contohnya, kita mahu ada pelajar aliran sains yang boleh mengambil subjek sastera manakala pelajar aliran sastera mengambil subjek sains.

“Namun laporan yang keluar seolah-olah ia kenyataan dasar. Kita akan umum bila sampai masanya, kita buat buat kenyataan dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jom Sekolah 2020 oleh Yayasan Harapan Pontian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, Tanjung Piai, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Harapan Pontian, Zulkifly Tasreep, dan Pengetua SMK Teluk Kerang, Azizah Omar.

Terdahulu, Maszlee mengumumkan peruntukan RM70,000 untuk SMK Teluk Kerang bagi penyelenggaraan sekolah, pembaikan tangki septik dan membina laluan pejalan kaki serta dataran sekolah.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM80,000 sebagai bantuan awal persekolahan tahun depan kepada 533 murid daripada keluarga B40 di daerah ini.

Khamis lalu, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose, dilaporkan menasihatkan kerajaan tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan pemansuhan aliran sastera dan sains bagi pelajar Tingkatan Empat mulai tahun depan.

Beliau berkata, langkah itu dikhuatiri memberi implikasi terhadap kursus di peringkat universiti selain bertentangan dengan langkah Kementerian Pendidikan menggalakkan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Sementara itu, Maszlee berkata, kementerian masih menerima input pelbagai pihak dalam usaha menambah baik sistem pendidikan sedia ada.

“Pemansuhan aliran itu adalah sebahagian daripada hasil laporan jawatankuasa kajian dasar yang ditubuhkan Kabinet seperti diminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Hasil kajian, trend dunia masa kini mendapati pembelajaran rentas aliran akan menjadi revolusi pendidikan dunia dan kita perlu bersedia menghadapinya, ” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »