“Kak Maya Karin, saya boleh cakap Bahasa Inggerislah...”

12:34:00
“SAYA nak kabo (jelaskan) kenyataan (selebriti) Maya Karin dalam statusnya di Twitter sebelum ini silap, walaupun dia (pelakon itu) doh tampil menjelaskan perkara sebenar,” kata murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Paka, Dungun, Wan Muhammad Yusuf Wan Roslan.

Wan Muhammad Yusuf yang mewakili Terengganu dalam pertandingan ‘storytelling’ sempena Karnival Perpaduan Bahasa Inggeris Peringkat Kebangsaan di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut semalam diumumkan sebagai pemenang tempat pertama.

Dalam pertandingan itu, Wan Muhammad Yusuf berjaya mengetepikan saingan peserta Selangor dan Pahang yang berada di tempat kedua dan ketiga.

Menurut Wan Muhammad Yusuf, dia yang mewakili murid di Terengganu, khususnya murid sekolah rendah membuktikan mereka boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan baik apabila berjaya muncul juara dalam pertandingan ‘storytelling’ (bercerita dalam Bahasa Inggeris) peringkat kebangsaan.

“Justeru saya harap kakak Maya lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan selepas ini kerana ia boleh mengguris hati murid di sini (Terengganu), termasuk saya.

“Kenyataan itu tidak patut keluar daripada seorang yang begitu dikenali,” katanya yang bagaikan menempelak pelakon yang terkenal dalam filem seram, Pontianak Harum Sundal Malam.

WAN Muhammad Yusuf (kanan) bersama keluarga. FOTO Malik Muhamad

Bagaimanapun, anak pasangan Wan Roslan Wan Othman dan Fatma Hidayati Zakaria yang juga anak jati Terengganu itu tidak mahu kenyataan yang dikeluarkan pelakon itu melemahkan semangat murid sepertinya.

“Kita harus lihat kenyataan itu daripada sudut positif dan sebagai pembakar semangat untuk membuktikan murid di Terengganu juga mampu bercakap dengan baik dalam Bahasa Inggeris,” katanya yang mempertaruhkan tajuk ‘The Magic Shuttle and Gauge’ dalam pertandingan itu.

Sementara itu, guru Wan Muhammad Yusuf, Suriatina Yahya mengakui lega kerana kegagalan anak muridnya itu tahun lalu dalam pertandingan yang sama membuahkan hasil pada penampilan yang kedua ini.

“Tahun lalu, Yusuf juga menunjukkan persembahan yang mantap dan mampu bercerita secara spontan dalam Bahasa Inggeris tetapi mungkin bukan rezekinya ketika itu.

“Mengenai kenyataan Maya dalam statusnya di Twitter bulan lalu, saya berpendapat kenyataan itu tidak menggambarkan keseluruhan pencapaian murid di Terengganu dan kejayaan Yusuf membuktikan anak Terengganu juga mampu bertutur dengan fasih dalam bahasa itu.

“Namun murid perlu positif dalam apa jua kritikan, yang penting mereka harus bangkit dan berusaha untuk berjaya,” katanya.

Dalam pertandingan ‘public speaking’, peserta dari Wilayah Persekutuan Putrajaya muncul juara bagi kategori sekolah rendah (SR) manakala kategori sekolah Menengah (SM) diraih peserta dari Negeri Sembilan sementara peserta Selangor muncul juara bagi kategori SR dan peserta dari Negeri Sembilan meraih tempat pertama bagi kategori SM bagi pertandingan ‘poetry recitation’.

Bagi pertandingan ‘scrabble’ pula, peserta Selangor meraih tempat pertama bagi kategori SR, manakala peserta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur muncul juara bagi kategori SM.

Johan keseluruhan menjadi milik kontinjen Selangor dan hadiah kepada pemenang disempurnakan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Azman Othman@ Abdullah.

Sebelum ini, aktres dan penyanyi popular itu menjelaskan dia tidak berniat memperlekehkan sesiapa pun dalam statusnya di Twitter yang tular mengenai kanak-kanak berusia 10 tahun di Terengganu tidak pandai bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Berikutan statusnya itu, kenyataannya menjadi perdebatan warganet, malah dirinya turut dikecam kerana bagaikan mempersendakan kanak-kanak tidak pandai berbahasa Inggeris ketika menghadiri satu program di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada awal bulan ini.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »