Guru wanita maut dibunuh ditemui masih bertelekung

06:32:00
SIK: Seorang guru wanita berusia 30-an ditemui mati di atas katil dipercayai dibunuh oleh orang yang tidak dikenali, pada tengah hari Selasa.

Dalam kejadian di Kampung Banggol, Jeneri, Sik yang berlaku antara jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap oleh suaminya.

Menurut Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman, ketika ditemui, mayat mangsa dalam keadaan tertiarap di atas katil sebuah bilik dan masih memakai kain telekung.

Mangsa, Fauziah Yup, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Padang Chicak, Jeneri dipercayai sedang bersembahyang sebelum dibunuh.

Menurut Abdul Razak, sebelum kejadian iaitu sekitar jam 12 tengah hari, suami dan anak mangsa keluar meninggalkan mangsa seorang diri di rumah.

Jelasnya, kira-kira jam 1.30 petang, suami dan anak mangsa yang pulang ke rumah terkejut apabila mendapati mangsa dalam keadaan tersebut.

Pada awalnya, suami mangsa menyangkakan isterinya sedang tidur. Bagaimanapun sebaik mengejutkan mangsa, suaminya mendapati tiada tindak balas dari isterinya lantas dia terkejut apabila dapati mangsa sudah tidak bernyawa.

Hasil siasatan awal terdapat kesan barangan berselerak dipercayai akibat digeledah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Astro Awani

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »