Guru ditahan terlibat aktiviti pengganas LTTE

08:15:00
GURU sebuah sekolah di Banting, Selangor, Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan Melaka antara lima individu ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka ditahan dalam operasi selepas penahanan tujuh individu lain 10 Oktober lalu bermula 10 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, penahanan itu membabitkan seorang di Selangor, dua di Melaka dan dua di Pulau Pinang.

“Jumlah mereka ditahan setakat ini adalah seramai 12 orang kerana disyaki mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak, mencari dana dan memiliki item berkaitan LTTE.

“Tangkapan pertama di Teluk Panglima Garang, kita menahan guru lelaki sebuah sekolah menengah di Banting berusia 52 tahun kerana disyaki menyokong dan mempromosi LTTE menerusi media sosial selain memiliki dan menyimpan item berkaitan kumpulan itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Ayob Khan berkata, Ahli Majlis PBT negeri berumur 38 tahun dan CEO perbadanan anak syarikat kerajaan Melaka berusia 43 tahun ditahan di Durian Tunggal, Melaka kerana bertindak sebagai penganjur sambutan hari perwira LTTE pada 28 November tahun lalu di negeri itu.

“Di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kita menahan dua lelaki iaitu pekerja kilang berusia 26 tahun dan penyelia keselamatan berusia 29 tahun kerana disyaki menyokong dan mempromosi LTTE menerusi media sosial.

“Siasatan juga mengesan transaksi kewangan dalam jumlah besar disyaki digunakan untuk membiayai aktiviti, mempromosi, merekrut dan menggerakkan program berkaitan pengganas antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan juga saling mengenali dan operasi susulan akan terus dijalankan bagi memburu saki baki kumpulan LTTE di negara ini.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »