GPK HEM maut selepas rebah daki gunung

18:11:00
LELAKI tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendaki Bukit Beruang, Melaka hari ini.

Sebelum kejadian, Salleh Kanan, 56, Guru Penolong Kanan SK Peringgit Melaka itu dikatakan mendaki bukit berkenaan bersama rakannya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya ada menerima maklumat daripada Hospital Melaka (HM) mengenai individu meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu laporan penuh dan punca sebenar kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.42 petang sebelum 20 anggota termasuk pegawai ke lokasi.

Menurutnya, turut menyertai operasi dan menyelamat (SAR) itu adalah pegawai perubatan dari HM.

"Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit untuk tiba di lokasi mangsa berada.

"Ketika tiba mangsa sudah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pegawai perubatan memberi bantuan awal pernafasan (CPR)," katanya.

Hamdan berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa CPR turut diberikan oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba.

"Bagi memudah dan mempercepatkan mangsa dibawa turun untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital, satu laluan baru dibuat.

"Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 14 minit untuk membawa turun mangsa sebelum dibawa ke HM dengan kenderaan EMRS," katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »