Pertimbang bonus sebulan gaji, semak semula SSM - CUEPACS

21:04:00
GEORGETOWN: Kerajaan diharap mempertimbangkan pemberian bonus sekurang-kurang sebulan gaji kepada penjawat awam dalam Belanjawan 2020 yang dijangka dibentangkan pada 11 Oktober depan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata pemberian itu sebagai pengiktirafan kepada mereka yang bekerja keras memberi khidmat terbaik kepada kerajaan.

Beliau berkata, biarpun kerajaan sudah bertukar, agensi dan kementerian yang ada masih sama dengan semua kakitangannya berkhidmat tanpa prejudis.

“Ramai (penjawat awam) amat berharap dan bertanya, tahun ini ada bonus atau tidak? Saya yakin dengan kebijaksanaan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng), bonus itu mesti ada.

“Walau dalam keadaan apa sekalipun, penjawat awam perlu diiktiraf kerana mereka banyak menyumbang bagi memastikan negara aman dan makmur.

“Berapa banyak (jumlah bonus), ikut kemampuan kerajaan tetapi kita berharap sekurang-kurang sebulan gaji,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan CUEPACS Pulau Pinang di Bangunan ACC Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, hari ini.
Selain bonus, Azih berkata, harapan lain CUEPACS dalam belanjawan kali ini termasuk agar kerajaan menyemak semula Skim Saraan Malaysia (SSM).

Beliau berkata, SSM tidak pernah disemak semula sejak 17 tahun dilaksanakan, justeru sudah tiba masa ia dikaji dengan memperkenalkan skim gaji baharu demi kepentingan lebih 1 juta penjawat awam selaras keadaan ekonomi semasa.

“Kita juga berharap pada 2020, gaji permulaan berada di atas garis kemiskinan.

“Garis kemiskinan negara ini perlu diubah kerana ia menunjukkan kita masih dalam dunia membangun yang mundur dan terkebelakang sedangkan pada hakikatnya, kita adalah negara membangun yang paling maju.

“Malah, sesetengah negara turut menganggap Malaysia sebuah negara maju tetapi indeks kemiskinannya masih dalam negara membangun,” katanya.

Selain itu, Azih berharap kerajaan akan terus mengekalkan 21 Institut Pendidikan Guru (IPG) dan 33 institut latihan bawah Kementerian Kesihatan yang sedia ada.

“2020 adalah tahun istimewa dan kita berharap ada kejutan istimewa untuk semua penjawat awam,” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »