Pengenalan Guru Nadi Negara angkat martabat guru - Maszlee

21:01:00
Guru Nadi Negara (GNN) adalah sebuah program nasional KPM yang akan mengangkat martabat guru sebagai pemegang taruh sistem pendidikan negara. Salah satu usaha untuk mencapai matlamat tersebut adalah, KPM akan melantik 30 orang guru sebagai Duta Guru Nadi Negara.

Pemilihan yang berdasarkan pencapaian dan kecemerlangan dalam bidang perguruan itu dilihat dapat memberikan inspirasi kepada guru untuk terus berbakti kepada dunia pendidikan negara.

Bagi menyempurnakan hasrat mengangkat martabat guru sebagai sebuah profesion yang dipandang tinggi, Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, KPM akan mengumpul segala bentuk cadangan, kritikan, idea dan pandangan untuk menambahbaik sistem pendidikan di Malaysia.

Ia sesuai dengan hasrat KPM untuk memberikan pendedahan kepada guru berkaitan naratif baharu amalan pendidikan, serta mengumpul dan menerima cadangan penambahbaikan dalam sistem pendidikan.

Malah, kata beliau, KPM akan turun padang ke setiap negeri di Malaysia untuk melaksanakan sesi perkongsian dan perbincangan berdasarkan tiga slot utama dalam GNN.

“Antara slot yang diperkenalkan adalah, Tedtalk Cerita Kita, Keynote Naratif Baharu Amalan Pendidikan dan juga slot Kanvas Pendidikan Malaysia.

“KPM sendiri akan mengetengahkan Guru Adiwira, Guru PAK21, Guru Inspirasi McDonald dan juga guru-guru lain yang terkenal atas pengorbanan dan usaha mereka dalam membentuk kemenjadian murid ke pentas Guru Nadi Negara.

“Malah, kami juga akan turut membawa pakar-pakar pendidik seluruh Malaysia seperti pegawai KPM, pensyarah daripada Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk menceritakan tentang usaha-usaha KPM dalam menjayakan naratif baharu amalan pendidikan,”jelas beliau.
Katanya lagi, menerusi program ini, KPM akan membuka ruang perbincangan dan sistem sarana Guru Nadi Negara secara atas talian untuk mengumpul cadangan, kritikan, idea dan pandangan membina para pendidik.

Bagaimanapun, bagi menentukan dan menilai keberhasilan program, sebuah penilaian secara atas talian akan dibina oleh jawatankuasa yang dilantik untuk diisi oleh guru-guru yang menyertai program Guru Nadi Negara agar penambahbaikan program tersebut dapat dilaksanakan.

“KPM komited dan bertekad untuk mendengar hasrat dan impian guru-guru bagi mencipta sebuah sistem pendidikan acuan kita sendiri. KPM juga akan memastikan cadangan yang diberikan itu akan dibentangkan di peringkat kepimpinan KPM agar cadangan tersebut disambut oleh semua warga KPM,”terang beliau.

Duta Guru Nadi Negara yang terdiri dalam kalangan guru-guru berpengaruh di media sosial dan masyarakat.

GNN yang bakal bermula April 2020 sehingga Disember 2022 ini, akan melibatkan semua warga KPM yang berada di Institut Pendidikan Guru, sekolah-sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri seluruh Malaysia.

Ditanya tentang pelaksanaan sebarang projek rintis untuk GNN, Maszlee menjelaskan, sebuah projek rintis Guru Nadi Negara akan diadakan bermula Januari sehingga Mac 2020, di empat buah negeri yang terpilih iaitu Selangor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

“Bagi memastikan program GNN ini dapat diterima dan diraikan oleh semua pendidik, KPM telah melantik beberapa orang guru dan siswa siswi pendidik dari seluruh negara sebagai Duta Guru Nadi Negara untuk menjadi jurucakap dan jambatan yang menghubungkan guru-guru dengan program ini.

“Duta-duta ini bersama pasukan media Guru Nadi Negara akan bergerak aktif di media sosial untuk mempromosi dan menerangkan aspirasi program ini kepada pendidik dan masyarakat,”katanya.

Sumber: GPS Bestari

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »