Kaedah Pengajaran Secara Rakaman Video Guru Terpilih Akan Diperkenalkan - PM

18:07:00
KYOTO: Kaedah pengajaran secara rakaman video oleh guru terpilih akan diperkenalkan di sekolah tidak lama lagi bagi memudah dan mempertingkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kaedah itu akan dikongsikan dengan sekolah lain untuk memberi manfaat kepada pelajar dan guru di sekolah masing-masing.

“Kita cuba memudahkan pengajaran kerana tidak semua guru sama. Apa yang kita hendak lakukan ialah memanfaatkan guru yang baik, rekodkan cara pengajaran mereka dan berkongsi pengajaran itu dengan guru sekolah lain. Guru berkenaan kemudian akan membimbing dan menjelaskan kepada pelajar mereka.

“Pada masa sama, mereka juga akan belajar. Kualiti pengajaran akan menjadi lebih baik menerusi sistem ini, ” katanya kepada pemberita semasa lawatannya ke Sekolah Rendah Ritsumeikan di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir dihidangkan teh Jepun yang disediakan murid darjah enam pada majlis minum teh.

Perdana Menteri juga meluangkan masa selama 90 minit melihat teknologi robotik, maklumat dan komunikasi serta kelas membuat pasu.

Sekolah Rendah Ritsumeikan adalah sekolah pertama di Jepun menggabungkan pendekatan tradisional dan moden dalam kaedah pembelajarannya.

Sekolah yang dibuka pada 2006 itu dan kini mempunyai lebih 700 pelajar juga adalah yang pertama memperkenalkan teknologi robotik dalam kurikulumnya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »