Sabah mahu tentu hala tuju pendidikan sendiri

13:05:00
KOTA KINABALU: Sabah menggesa Kementerian Pendidikan supaya membenarkan negeri itu membuat keputusan sendiri berhubung langkahnya memperkenalkan tulisan jawi di sekolah, sewaktu kontroversi mengenai silibus tambahan itu hangat di semenanjung.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew berkata, Putrajaya tidak harus memaksakan dasarnya ke atas negeri itu, termasuk dalam isu pelantikan timbalan canselor Universiti Malaysia Sabah.

“Kami menghargai sekiranya kementerian persekutuan merujuk dan berunding dengan kami tentang apa-apa dasar atau pelantikan yang mahu dilakukan,” kata Liew, yang juga merupakan pengerusi PKR Sabah, di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Liew berkata, tidak ada salahnya untuk mempelajari seni kaligrafi mana-mana kaum.
“Bagaimanapun jangan paksa (pelajar) dan menjadikannya subjek wajib. Pelajar sudah sedia terbeban dengan silibus yang berat, dan kini anda tambah lagi?” katanya.

“Di Sabah, kami ada banyak bahasa etnik untuk dipelajari. Jadikan ia satu pilihan, sama seperti kaligrafi Cina. Ini pendirian Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Liew yang bertanggungjawab ke atas portfolio pelancongan negeri mempersoalkan keputusan Putrajaya untuk mengenakan levi pelepasan bermula 1 Sept ini.

Katanya, Sabah tidak dirundingi berhubung perkara itu.

“Saya tidak tahu,” katanya.

Liew berkata, kerajaan negeri melihat kemungkinan untuk menuntut sekurang-kurangnya separuh daripada levi yang dikutip daripada lapangan terbang di Sabah.

“Saya maklum bahawa negara Asean lain turut melaksanakannya, tetapi saya tidak pasti bagaimana ia akan memberi kesan ke atas kita sehingga suku pertama ia dilaksanakan.

“Saya tertanya-tanya sama ada kita akan mendapat sebahagian daripadanya (levi pelepsan).”

Sumber: Free Malaysia Today

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »