NUTP kecam NGO ajak pelajar ponteng

11:45:00
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Cadangan Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) untuk mengadakan Hari Ponteng Sekolah Kebangsaan sebagai protes terhadap pengajaran seni khat Jawi di sekolah jenis kebangsaan adalah tidak patut dan tidak sesuai.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) malah menyifatkan ia sebagai penghinaan kepada guru-guru yang komited terhadap tugas mereka untuk mengajar murid.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, Sekat sepatutnya mengambil jalan yang lebih diplomatik dengan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pendidikan, bukan mencadangkan sesuatu yang melanggar peraturan sekolah.

“Kita anggap ini satu penghinaan kepada guru. Di saat guru bertungkus-lumus memberikan pendidikan yang berkualiti, ingin hasilkan pelajar yang cemerlang, ada pula pihak yang cuba menggagalkan usaha warga pendidik kita.

“Mereka sepatutnya sedar bahawa perancangan untuk pengajaran tulisan khat ini bukan benda baharu, sejak 2012 lagi. Hanya untuk tiga muka surat. (Rancangan itu) dihasilkan oleh pakar pendidikan dari pelbagai kaum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Portal Malaysia Gazette hari ini melaporkan hasrat Sekat untuk melakukan protes dengan mengajak pelajar sekolah dengan kerjasama ibu bapa mereka ponteng sekolah sebagai bantahan kepada pengajaran seni khat Jawi di sekolah jenis kebangsaan.

Jurucakapnya, Arun Dorasamy berkata, protes itu akan menjadi tindakan terakhir jika permintaan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan pengajaran tersebut tidak diendahkan Kementerian Pendidikan.

Mengulas lanjut, Aminuddin menyatakan rasa kecewanya terhadap bantahan yang berterusan terhadap pengajaran seni khat Jawi walaupun Kementerian Pendidikan telah ‘berlembut’ sehingga terpaksa membuat dua kali pindaan terhadap pelaksanaannya.

“Kementerian telah berlembut tetapi masih lagi tak puas hati.

“Mereka sepatutnya mencetuskan idea untuk kemajuan pendidikan, bukan memberi idea untuk membawa pendidikan kita semakin ke belakang,” katanya merujuk kepada ajakan ponteng sekolah tersebut. - UTUSAN ONLINE

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »