Murid 13 Tahun Maut Gantung Diri Dalam Bilik Air

20:43:00
Remaja itu ditemui dalam keadaan tergantung dengan kain tuala sebelum diturunkan bapanya. - Foto PDRM
GEORGE TOWN: Selepas mengadu mengenai kerja sekolah yang terlalu banyak, seorang remaja berusia 13 tahun dipercayai bertindak menggantung dirinya di dalam bilik air rumahnya, pada malam Sabtu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.55 malam di flat Jalan Paya Terubong, Taman Sri Relau, George Town.

Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sebelum kejadian, pelajar Tingkatan Satu itu dikatakan masuk ke dalam bilik air rumahnya untuk mandi.

Namun, remaja itu tidak keluar dari bilik air selepas kira-kira 30 minit kemudian menyebabkan bapanya mula curiga sebelum cuba membuka pintu bilik air.

Che Zaimani berkata, remaja itu ditemui dalam keadaan tergantung dengan kain tuala sebelum diturunkan bapanya.
Remaja itu ditemui dalam keadaan tergantung dengan kain tuala sebelum diturunkan bapanya. - Foto PDRM
Selepas diturunkan, lelaki berusia 49 tahun itu cuba memberi bantuan pernafasan kepada anaknya, dan mangsa dikatakan muntah.

Remaja itu kemudiannya di hantar ke Hospital Pulau Pinang dengan menaiki ambulans sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Hasil siasatan, Che Zaimani berkata, remaja terbabit dikatakan kurang minat untuk belajar selain prestasi pelajarannya yang agak lemah.

Soal siasat bersama ibu bapa mangsa juga mendapati, mangsa sering merungut kerana kerja sekolah yang terlalu banyak.
Pada malam kejadian, ibu remaja berkenaan dikatakan memintanya menyiapkan kerja sekolah selepas mendapat panggilan telefon daripada guru sekolahnya yang mendakwa mangsa tidak menyiapkan kerja sekolah.

Namun katanya, mangsa memberitahu tidak dapat menyiapkan kerja sekolah yang diberikan sebelum dia ditemui tergantung di dalam bilik air.

Ibu mangsa berusia 51 tahun berkata, pada sambutan Hari Ibu Mei lalu, mangsa ada menulis sepucuk surat kepadanya yang menyatakan rasa sayang dan terima kasih anaknya kepadanya.

Che Zaimani berkata, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau kecederaan.

Manakala di kawasan sekitar lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang senjata.

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat gantung diri dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Astro Awani

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »