Kurikulum baharu selari dengan keperluan IR4.0 - Maszlee

17:15:00
KUALA LUMPUR, 29 JUL: Kementerian Pendidikan sedang merancang kurikulum baharu sesuai dengan keperluan Revolusi Industri keempat (IR4.0), kata Menterinya, Dr Maszlee Malik.
Kurikulum itu akan mengandungi tiga elemen utama – Struktur Kurikulum Organik dan Fleksibel; Transformasi Penyampaian Pengajaran dan Pembelajaran; serta Penilaian Alternatif bagi membantu generasi akan datang menghadapi era revolusi yang lebih mencabar.

“Kita akan mencorakkan sistem pendidikan agar dapat mempersiapkan anak kita bagi menghadapi masa hadapan yang lebih mencabar pada era revolusi IR 4.0, maka kurikukum kita menjurus kepada IR 4.0.

“We have to admit that the language of technology and the IR 4.0 is based on English. Sciences, all the computing, coding, robotic, these subjects are depends on English. If we want to master all those segment and specialities we (must) do it in English.

(“Kita perlu mengakui bahawa bahasa teknologi dan IR4.0 berdasarkan bahasa Inggeris. Sains, semua komputer, koding, robotik, mata pelajaran ini bergantung kepada bahasa Inggeris. Jika kita ingin menguasai semua segmen itu dan kepakaran kita (mesti) buat dalam bahasa Inggeris.)

“Dalam menghadapi era IR 4.0, kita dihadapkan dengan kepakaran yang tidak pernah wujud, pelbagai bidang baharu. Jadi kita perlu perlengkapkan anak kita dengan teknologi IR 4.0 itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Laporan Tahunan 2018 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Auditorium Sasana Kijang Bank Negara di sini.
Dalam pada itu mengenai laporan berkenaan, Maszlee berkata beberapa pencapaian dicapai iaitu peningkatan enrolmen pra sekolah kebangsaan sebanyak 85.4 peratus pada 2018 berbanding 84.3 peratus bagi 2017.

Selain itu, program Sifar Cicir Murid telah menunjukkan pengurangan kadar keciciran sebanyak 26.1 peratus di peringkat menengah dan 25.6 peratus di peringkat sekolah rendah.

Beliau berkata, melalui usaha membudayakan Pengajaran Abad ke-21 (PAK 21) dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), kementerian berjaya meningkatkan jumlah Sekolah Penarafan KBAT yang mencapai tahap cemerlang iaitu 67 peratus (189 daripada 282 sekolah) pada tahun lepas berbanding 4.6 peratus (13 daripada 282 sekolah) ketika 2017.

“Kita juga telah meningkatkan kecekapan dengan pembaikpulihan jumlah sekolah daif sehingga tiga kali ganda iaitu melibatkan 394 sekolah pada 2018 berbanding 120 sekolah pada 2017,” jelasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Maszlee berkata pihaknya tidak berhasrat meminda waktu persekolahan di seluruh negara sebaliknya menasihatkan ibu bapa supaya memastikan keselamatan anak mereka ke sekolah.

Menteri itu menjelaskan kementerian masih kekalkan waktu persekolahan sedia ada selain tiada perancangan untuk mempercepatkan atau melambatkan sesi persekolahan.

“Kementerian masih kekal dengan waktu persekolahan yang sedia ada, kita tidak pernah awalkan. Jadi diminta ibu bapa dan komuniti memberikan perhatian kepada kebajikan anak mereka dan anak di kawasan persekitaran,” katanya.

Beliau mengulas satu laporan berita tempatan mengenai keadaan gelap atau kelam kerana kurang pencahayaan di kawasan laluan ke sekolah, boleh menyebabkan pelajar yang keluar awal untuk persekolahan sesi pagi terdedah menjadi mangsa jenayah. – BERNAMA

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »