KPM siasat kes pelajar gantung diri akibat kerja sekolah banyak

11:56:00

KEMENTERIAN Pendidikan kesal dengan kejadian pelajar dilaporkan menggantung diri akibat tekanan kerja sekolah di Pulau Pinang dan akan melakukan siasatan lanjut.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, terlalu awal untuk membincangkan keperluan mewujudkan modul pengajaran baharu dan pihaknya akan menunggu siasatan polis dahulu.

“Selain itu juga, kita tunggu kementerian untuk menyediakan laporan dan siasatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Merbok , hari ini.
Maszlee berkata, proses pembelajaran perlu mempunyai konsep kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati.

“Kita berasa amat sedih dengan peristiwa yang berlaku, seperti mana kita inginkan supaya sekolah ini menjadi tempat gembira untuk pelajar dan guru belajar dan mengajar.

“Paling penting adalah proses pembelajaran... kita mahukan supaya pelajar itu gembira untuk menambah ilmu, penuh konsep kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati.

“Namun begitu, bila berlaku tekanan, guru memberikan beban yang banyak, saya rasa itu tidak sepatutnya,” katanya.

Sabtu lalu, remaja lelaki, 13, menggantung diri dalam rumahnya di Paya Terubong, Georgetown.

Mangsa dilaporkan bertindak sedemikian akibat tertekan dengan kerja sekolah yang banyak.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »