Kerajaan perlu teruskan cadangan mansuh UPSR

13:17:00
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan perlu meneruskan cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memberi fokus antaranya dalam aspek kemenjadian murid.

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kajian untuk pemansuhan peperiksaan itu telah dimulakan sejak tiga tahun lalu dan ia perlu dilaksanakan demi pemerkasaan pendidikan generasi seterusnya.
“Mengikut perancangan awal saya sekitar tahun 2016 dan 2017, langkah pemansuhan UPSR sudah dimulakan melalui pelbagai kajian yang melibatkan para pemegang taruh bidang pendidikan.

“Langkah pemansuhan itu bertujuan untuk memberi fokus kepada kemenjadian murid dan penilaian yang menyeluruh terhadap kemajuan pendidikan awal kanak-kanak di sekolah. Oleh itu, saya berharap pihak kerajaan Pakatan Harapan melalui Kementerian Pendidikan meneruskan cadangan tersebut demi pemerkasaan pendidikan generasi seterusnya,” katanya.

Mahdzir yang juga merupakan Naib Presiden UMNO berkata demikian dalam akaun Faceboook miliknya hari ini bagi mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) yang menggesa UPSR dimansuhkan sebagai usaha mentransformasikan sistem pendidikan.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, tiada lagi keperluan untuk UPSR dilaksanakan kerana murid-murid terpaksa menanggung beban untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan itu.

Katanya lagi, pemansuhan UPSR dapat mengurangkan tekanan dan bebanan kepada murid-murid selain mengubah persepsi segelintir masyarakat yang menganggap penilaian A itu sebagai kayu pengukur kualiti seseorang.-UTUSAN ONLINE

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »