SPR syor KPM wujudkan modul mengundi di sekolah

08:40:00
PUTRAJAYA: : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang supaya Kementerian Pendidikan dapat mewujudkan satu modul untuk mendidik pelajar sekolah tentang perihal demokrasi dan pilihan raya.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, anak-anak perlu didedahkan tentang perkara penting itu sejak di awal usia untuk membolehkan mereka memahami proses itu sebaiknya, memandangkan usia mengundi telah diturunkan kepada 18 tahun.

“Saya ke Australia, pendidikan pengundi bermula di Tahun 3. Pada usia sembilan tahun mereka dah tahu hak mengundi, mengundi itu tentang apa dan semuanya.

“Jadi kita nak tengok sama ada boleh kita berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk masukkan sedikit modul mengenai demokrasi, proses pilihan raya, hak mengundi dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas Forum ‘Make A Change Let’s Do It Together’ anjuran SPR di sini, hari ini.

Isu kematangan pengundi menjadi perdebatan hangat apabila cadangan had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun dibahaskan di Dewan Rakyat sehingga dipersetujui sebulat suara oleh Parlimen pada Selasa lalu.
Ketika modul itu berhasrat mendedahkan anak muda lebih awal tentang proses demokrasi negara, ia juga akan dipastikan bersifat neutral dan tidak dilihat sebagai medium doktrin mana-mana parti politik.

“Saya janji supaya tak ada tohmah oleh pihak pembangkang mengatakan kita (SPR) sokong kerajaan, kita akan sediakan (modul) setelah melibat urus dengan kedua-dua pihak.

“Bi-partisan all the way, kita mahu modul yang bebas dan neutral,” kata Azhar.

Selain beliau, ahli panel lain forum itu ialah Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari Young Syefura Othman.

Turut sama, Moderator Forum Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »