Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) terima respon positif daripada Guru

07:23:00
KLUANG - Kementerian Pendidikan menerima maklum balas positif daripada para guru berhubung kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang diperkenalkan sejak 2011.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, maklum balas berkenaan diperoleh Bahagian Pembangunan Kurikulum yang mengadakan lawatan ke 11 sekolah di negara ini berhubung pelaksanaan kaedah tersebut.

"Penerimaan para guru cukup menggalakkan. Antaranya, guru-guru faham kepentingan pembelajaran yang menyeronokkan melalui kaedah-kaedah fokus didik hibur.

"Murid-murid juga didapati lebih seronok untuk hadir ke sekolah kerana mereka sedar bahawa sekolah kini adalah satu tempat yang menyeronokkan selain pada masa sama, mereka dapat mempelajari pelbagai ilmu baharu," katanya selepas merasmikan penutup bengkel PBD di sini hari ini.
Nie Ching yang juga Anggota Parlimen Kulai berkata, pihaknya berharap guru-guru akan meneruskan usaha terbaik dalam menjayakan PBD kerana guru ialah ejen transformasi yang bukan hanya bertanggungjawab mendidik malah berkeupayaan memperkasakan bakat murid.

Menurutnya, bengkel PBD setakat ini sudah diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor malah bengkel berkenaan dirancang untuk diteruskan di Sungai Petani, Kedah, awal bulan depan.

"PBD kini menjadi instrumen penilaian terhadap prestasi murid tahap satu. Guru-guru kita juga sudah didedahkan dengan pelbagai taklimat dan latihan selain mengamalkan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21).

"Memandangkan tiada lagi peperiksaan, PBD ini lebih menumpukan kepada perkembangan pembelajaran murid atau berorientasikan pembelajaran. Dengan ini, objektif untuk memberi fokus kepada kepelbagaian potensi murid dapat dicapai," katanya. - Bernama

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »