KPM digesa beri kenyataan rasmi berhubung peperiksaan percubaan tingkatan 3

09:39:00
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan satu kenyataan rasmi, surat pekeliling atau siaran kepada warga pendidik berhubung peperiksaan percubaan bagi murid tingkatan tiga.


Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock dalam kenyataan hari ini berkata, NUTP mendapati ada antara sekolah menengah yang mengadakan peperiksaan percubaan mengejar penarafan secara tidak formal di kalangan mereka sendiri dan situasi itu akan membebankan murid dan guru terlibat.

"Kita memohon agar satu kenyataan rasmi atau surat pekeliling berkaitan ini dapat dikeluarkan oleh KPM agar guru-guru tidak keliru atau menjadi mangsa pengetua dan pentadbiran sekolah. Kebanyakan pengetua dan pentadbir sekolah memerlukan pemakluman secara hitam putih," katanya.

Pada 6 Julai lalu, NUTP telah memuat naik satu video di laman sosial Facebook berhubung pemakluman Ketua Penolong Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Rohesan Mohamad yang menyatakan dengan jelas meminta semua pengetua dan pentadbir sekolah tidak mengadakan peperiksaan percubaan dan peperiksaan akhir tahun bagi pelajar tingkatan tiga.


Harry Tan berkata, perkara itu juga telah diuar-uarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan selaras dengan naratif baru amalan pendidikan yang tidak mahu pendidikan Menengah Rendah berfokus kepada 'Exam Oriented' kerana PT3 sebahagian komponen Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

Kenyataan video itu juga memaklumkan bahawa menjelang 2020, soalan-soalan peperiksaan akan dibuat oleh para guru mengikut gred sekolah masing-masing.

"Jadi tidak sepatutnya dibuat perbandingan kerana pelajar dan guru yang akan tertekan dengan perbandingan ini. KPM hanya ingin dan mengharapkan kemenjadian murid terlaksana," katanya merujuk kepada peperiksaan percubaan tingkatan 3 yang diadakan oleh setengah-setengah sekolah.- Bernama

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »