Kami bekal internet percuma, tapi KPM pilih bayar pihak lain - YTL

08:23:00
YTL Communications Sdn Bhd mendakwa bahawa Kementerian Pendidikan telah mengupah tiga pembekal perkhidmatan internet untuk sekolah-sekolah sedangkan syarikat itu menawarkan untuk berbuat demikian secara percuma.
Dalam satu kenyataan hari ini, YTL mendakwa bahawa kementerian telah memohon perkhidmatan internet percuma untuk 10,000 sekolah yang melaksanakan persekitaran pembelajaran maya (VLE) tertakluk kepada tender pada 1 Januari, 2020.

“Kementerian juga memohon agar kami menyediakan perkhidmatan internet secara percuma disebabkan kerajaan tidak mempunyai bajet untuk membayar perkhidmatan yang disediakan,” kata syarikat itu.

Menurut syarikat itu, ini disampaikan semasa mesyuarat pada 23 April lalu antara kementerian pendidikan, Telekom Malaysia, Celcom Axiata, Maxis dan ISP lain berhubung Fasa 3 projek 1BestariNet.
Iklan

YTL Communications berkata ia kemudian menulis surat kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada 31 Mei lalu untuk memberi komitmen membekalkan perkhidmatan internet percuma selama enam bulan.

“Oleh itu, pengumuman kementerian pada 27 Jun lalu bahawa Telekom Malaysia, Celcom Axiata dan Maxis telah ditawarkan untuk menyediakan perkhidmatan internet sementara memeranjatkan kami.
“Kementerian telah menyingkir YTL Communications, memungkiri janji untuk memanggil tender terbuka dan sebaliknya bersetuju membayar bagi perkhidmatan internet kepada 3 ISP yang dilantik walaupun kami telah menawarkan perkhidmatan tersebut secara percuma,” kata syarikat itu.
Mengikut kenyataan kementerian pendidikan, bertarikh 27 Jun, tiada alasan diberikan untuk menyingkirkan YTL Communications.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2016, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara telah mencadangkan penamatan kontrak YTL Communication, atas alasan fasa pertama projek itu tidak dijalankan dengan baik.

Menurut syarikat itu, mereka telah melabur lebih RM4 bilion untuk membina infrastruktur sekolah-sekolah berkenaan.

“Kami menganggap tindakan Kementerian ini sebagai melanggar kewajipan kontrak terhadap kami. Kami kecewa kerana mereka tidak bertindak dengan niat baik dari segi apa yang kami diberitahu dan apa yang dilaksanakan tidak sejajar,” kata syarikat itu.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »