Ibu ditahan pukul rakan sekelas anak di sekolah

08:14:00
KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditahan kerana disyaki memukul seorang murid perempuan berumur 11 tahun berikutan perselisihan faham dengan anak suspek.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata suspek berusia 45 tahun didakwa memukul rakan sekelas anaknya itu di sebuah sekolah dekat Cheras.

Akibat kejadian itu, beliau berkata, mangsa dikatakan mengalami kecederaan di bahagian hidung dan tangan sebelum dibawa bapanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Kita menerima laporan pada 3 Julai dan menahan wanita terbabit di rumahnya pada 7 Julai lalu.

“Suspek direman selama dua hari berakhir 8 Julai lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah memohon laporan perubatan mangsa untuk melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas laporan perubatan mangsa diperoleh,” katanya.

Sumber: BH Online

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »