Guru diajar baca kualiti udara di sekolah

08:30:00
Pemantauan kualiti udara akan dibuat di 111 buah sekolah dekat Pasir Gudang secara serentak esok dan guru akan diajar cara membaca alat pengesan gas yang diletakkan di setiap sekolah.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata usaha itu bagi memastikan guru-guru sentiasa dalam keadaan bersedia jika terdapat perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kita juga akan mengajar mereka bagaimana untuk membuat laporan (sekiranya terdapat bacaan), jika ada sisa-sisa bawah tanah ataupun daripada Sungai Kim Kim, ia juga boleh dikesan menerusi alat pengesan ini.

“Kita akan terus memantau dan sekarang pihak sekolah juga ada satu rujukan sekiranya ada bacaan ataupun tidak,” katanya kepada pemberita di Menara Aqabah di Johor Bahru, petang ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Ditanya mengenai bacaan kualiti udara sepanjang pemantauan di lakukan di sekitar Pasir Gudang, Yeo berkata terdapat bacaan namun menjelaskan aspek tiupan angin memainkan peranan.

“Lihat kepada faktor angin, ada kalah bacaan ada ‘spark’, selepas itu dia akan turun semula kepada kosong,” katanya.

Sementara itu Mohd Khuzzan berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi, tiada pesakit baru dimasukkan ke dalam wad meskipun 38 pelajar dari sembilan buah sekolah mengalami gangguan kesihatan hari ini.

“Namun kesemua pelajar berkenaan hanya mendapatkan rawatan klinik kesihatan dan sesi persekolahan masih diteruskan seperti biasa. Pihak sekolah juga telah diarahkan membuka pintu dan tingkap di aras atas bagi tujuan pengaliran udara,” katanya.
Sehingga kini, masih ada seorang murid lelaki berusia 10 tahun masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.

Berkenaan penguatkuasaan, Mohd Khuzzan berkata hasil operasi bersepadu Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama pelbagai agensi lain, sebanyak 34 premis menerima notis arahan bagi mematuhi segala perundangan alam sekitar terutama dalam menangani masalah bau dan apa-apa pelepasan gas ke udara.

“Sebanyak enam premis dikenakan kompaun, sebuah premis dikenakan tindakan penahanan operasi dan dua premis dikenakan syor tindakan mahkamah,” katanya.

Mohd Khuzzan berkata secara keseluruhan sebanyak tujuh premis ditahan operasi setakat ini dengan 73 kompaun bagi kesalahan buangan terjadual, 10 kompaun efluen perindustrian dan 11 notis arahan.

-Bernama

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »