8 langkah boleh elakkan Pentadbir sekolah didakwa di mahkamah

09:45:00
Gambar hiasan
Secara amnya, jika pemimpin sekolah telah mematuhi segala arahan serta peraturan semasa menjalankan tugas-tugas harian dan melaksanakan “kewajiban berjaga-jaga” (duty of care) yang wajar, maka beliau harus selamat dan telah dilindungi dari sebarang dakwaan yang mungkin berlaku. Pemimpin sekolah juga perlu mahir mendapat kerjasama dan melibatkan pihak ibu-bapa untuk menyelesaikan masalah sebelum ianya dibawa ke mahkamah. Pemimpin sekolah perlu mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yng berikut bagi meminimumkan risiko didakwa atau dipersalahkan.
1. Memastikan Keselamatan Persekitaran dan Fizikal Sekolah
  • Undang-undang menghendaki tuan punya premis (bangunan dan kawasan tanah) memastikan premisnya adalah selamat digunakan atau didiami oleh semua pihak yang mempunyai hak menggunakannya atau berada di situ.
  • Jadi keadaan fizikal sekolah hendaklah sentiasa diselenggarakan dengan baik.
  • Contohnya tangga dan serambi bangunan mesti mempunyai pelindung yang sesuai dan kukuh untuk memastikan tiada murid berkemungkinan terjatuh ke bawah. Siling yang setengah terjatuh dan bumbung yang bocor mesti dibaiki dengan kadar segera.
  • Dalam bilik darjah, kipas, wayar elektrik uzur, kerusi lama dan lain-lain perlu diperiksa dari masa untuk memastikan keselamatan penggunaannya. Suis dan soket yang rosak mesti diganti.
  • Semak-semak panjang di kawasan sekolah mesti di tebas untuk mengelak segala bentuk bahaya seperti menjadi tempat perlindungan ular yang boleh mendatangkan kemudaratan.
  • Pokok juga boleh mendatangkan bahaya sekiranya ianya tumbang ditiup angin.

Dalam The Registration of Schools Ordinance, 1950. Schools (General) Regulations, sekolah dikehendaki memastikan bilik-bilik darjah memenuhi syarat-syarat seperti:

  • spesifikasi keluasan,
  • tingkap mencukupi untuk pengudaraan,
  • ketinggian siling
  • ruang yang mencukupi untuk setiap murid,
  • cahaya yang cukup terang dan
  • bilangan maksimum murid yang dibenarkan dalam setiap bilik darjah.
  • Selain daripada itu, peraturan yang sama mengatakan bahawa pemimpin sekolah bertanggungjawab membenarkan pihak-pihak yang berhak sahaja untuk menggunakan premis sekolah.
Dalam kes Carmarthenshire County Council v. Lewis [1995], seorang murid berumur empat tahun telah ditinggalkan seketika oleh gurunya. Murid tersebut keluar dari kawasan sekolah dan menyebabkan suatu kemalangan jalanraya terjadi di mana seorang pemandu lori mati. Akhirnya, pihak sekolah dipersalahkan kerana guru tidak mengawasi murid dan sekolah juga dipersalahkan (vicariously liable) kerana gagal mengunci pintu masuk sekolah. Kecuaian untuk memastikan keadaan sekolah selamat telah menyebabkan pihak sekolah didakwa.
2. Memastikan Keselamatan Sewaktu P&P Di Bilik Darjah
  • Pengawalan kelas merupakan salah satu aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh seseorang guru sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kelas.
  • Mengikut undang-undang common law, guru dikehendaki membuat penyeliaan yang munasabah (reasonable degree of supervision) ke atas murid-murid di bawah jagaannya sewaktu kelas berjalan.
  • Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan beliau didakwa jika murid tercedera akibat kecuaiannya. Ini disebabkan guru merupakan individu yang bertanggungjawab dalam mengendalikan sesebuah pengajaran dan pembelajaran serta memastikan keselamatan pelajar.
Dalam kes Government of Malaysia & Ors. v. Jumat Bin Mahmud & Anor., plaintif asal telah tercedera akibat perbuatan nakal kawannya sehingga akhirnnya menjadi buta pada sebelah mata. Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa pihak guru telah cuai dalam penyeliaannya. Tetapi selepas rayuan dibuat kepada Mahkamah Persekutuan, didapati bahawa guru berkenaan tidak boleh dipersalahkan kerana kecederaan yang dialami oleh murid adalah akibat dari kemalangan yang tidak dapat diduga (not reasonably forseeable) oleh seseorang dalam keadaan yang biasa.
3. Memastikan Keselamatan Sewaktu Kelas Amali
  • Semua makmal dan bengkel kerja amali mesti mempunyai peraturan bertulis yang diedarkan kepada setiap murid pada hari pertama mereka menggunakan makmal atau bengkel tersebut.
  • Peraturan tersebut perlu diterangkan kepada murid oleh guru dengan jelas sehingga mereka betul-betul faham.
  • Peraturan-peraturan tersebut juga perlu dipamerkan pada papan kenyataan setiap makmal atau bengkel dan
  • diingatkan kepada murid dari semasa ke semasa.
Kelas-kelas amali atau kelas praktikal hanya boleh dikendalikan oleh guru-guru terlatih dalam mata pelajaran yang berkenaan sahaja.

  • Jika terdapat guru sementara, pemimpin sekolah mesti memastikan bahawa mereka tidak melakukan atau menyuruh pelajar melakukan percubaan-percubaan yang ‘berbahaya’.
  • Pemimpin sekolah dengan bantuan Guru Kanan Sains harus menapis rancangan kerja guru-guru tersebut bagi kerja amali (Surat Pekeliling Ikhtisas No. 1/1974, bertarikh 8 Julai 1974).
  • Selain daripada itu, guru-guru mesti memberi amaran terlebih dahulu kepada murid-muirid sebelum sebarang tunjukcara atau percubaan dijalankan dalam mana terdapat kemungkinan punca letupan atau bahaya.

Langkah-langkah keselamatan yang lanjut dalam semua aspek pengurusan makmal misalnya:

  • pengendalian silinder,
  • paip dan saluran gas;
  • suis, alat dan penghubung elektrik;
  • pencegahan kebakaran;
  • latihan kecemasan api;
  • kelengkapan memadam api;
  • penyimpanan bahan-bahan berbahaya;
  • keadaan bilik-bilik makmal; dan lain-lain) adalah diberi dengan lengkap dan jelas dalam Surat Pekeliling Ikhtisas No. 1/1974.
  • Pemimpin sekolah mesti memastikan semua guru sains mengetahui kandungan Surat Pekeliling Ikhtisas berkenaan dan mematuhi semua arahan dan panduan yang diberikan demi keselamatan semua pihak.
  • Buku-buku panduan penyelenggaraan makmal yang berkaitan juga perlu difahami dan diguna sebagai panduan guru setiap masa.
  • Sewaktu kelas amali dijalankan, guru-guru mesti menyelia dan mengawasi aktiviti murid-murid dengan rapi untuk memastikan keselamatan dijaga ke tahap munasabah di samping membantu menjayakan percubaan mereka.

Dalam kes Mohamed Raihan Bin Ibrahim & Anor. v. Government of Malaysia & Ors., palintif pertama (seorang murid kelas Sains Pertanian) telah pun dicederakan oleh cangkul yang digunakan oleh kawan kelasnya sewaktu mereka sedang menjalankan kelas amali menyediakan batas sayur. Guru kelas tersebut telah didapati bersalah kerana tidak memberi arahan dengan jelas kepada murid dan tidak menyelia perjalanan kerja dengan munasabah. Ini bermakna beliau telah gagal melaksanakan “kewajiban berjaga-berjaga” yang munasabah terhadap anak-anak muridnya.
4. Memastikan Keselamatan Kemudahan Sukan dan Kegiatan Ko-kurikulum
  • Sukan dan kegiatan ko-kurikulum merupakan satu lagi punca kemalangan mungkin berlaku.
  • Pemimpin sekolah hendaklah memeriksa dan memastikan bahawa segala kemudahan sukan dan permainan adalah dalam keadaan sempurna dan selamat untuk aktiviti-aktiviti ko-kurikulum tersebut dijalankan.
  • Guru-guru mesti memastikan bahawa padang, gelanggang, dan alat-alat sukan yang baik dan sempurna sahaja digunakan semasa menjalankan aktiviti.
  • Stor sukan mesti diselenggarakan dengan sempurna dan selamat mengikut segala arahan dan peraturan yang ada kerana alat-alat sukan dianggap berbahaya.
  • Murid-murid hendaklah diajar dengan teliti supaya mereka tahu menggunakan alat-alat dengan betul dan selamat.
Dalam kes di mana tiang gol mudah alih terjatuh, nyawa murid terkorban (belum dibicarakan lagi di mahkamah). Ini menunjukkan dengan jelasnya alat sukan tersebut tidak selamat digunakan dan mesti diganti dengan segera. Murid-murid juga perlu diberitahu tentang segala peraturan dan arahan tentang langkah-langkah menjaga keselamatan yang perlu diambil pada setiap masa.

Penjagaan rapi diperlukan semasa aktiviti diadakan untuk mengelakkan insiden-insiden yang serius seperti pelajar terlanggar tiang gol, terkena lontaran peluru, terjatuh dalam lubang, dan lain-lain (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000; Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1995). Selain daripada itu, guru juga hendaklah:

(i) mengambil kira faktor cuaca/ musim supaya aktiviti yang dijalankan tidak mendatangkan bahaya.

(ii) bertanggungjawab mengeluar, mengguna dan menyimpan alat-alat sukan walaupun boleh dibantu oleh murid.

(iii) memastikan semua alat sukan dan permainan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum digunakan.

(iv) Murid mesti mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga dan pemimpin sekolah untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti kokurikulum di luar sekolah dan mesti diiringi oleh guru. Jika ada murid perempuan, maka guru pengiring perempuan mesti ada bersama.

(v) Memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid diberi keutamaan seperti makanan dan minuman dan lain-lain lagi.

(vi) Murid yang cedera, lelah dan berpenyakit kronik tidak dipaksa dibenarkan/dipaksa mengambil bahagian.

(vii) Menggalakkan pelajar mengadakan skim perlindungan insurans yang sesuai.

(viii) Kawasan dan kemudahan yang berbahaya seperti dewan gymn dan kolam renang mesti dikawal penggunaannya dengan ketat.

(ix) Melaporkan segala kemalangan yang berlaku kepada pemimpin sekolah dengan segera untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kes Silvadurai v. Government of Malaysia seorang murid terjatuh kerana tersandung batu selepas turun dari bermain jongkang-jongkit. Murid tersebut akhirnya mati akibat kemalangan tersebut. Hakim mahkamah memutuskan guru dan pihak sekolah tidak bersalah kerana pelajar telah selalu dinasihati tentang bahaya bermain jongkang-jongkit dan kecederaan yang diakibatkan oleh murid berkenaan sebenarnya bukan disebabkan oleh permainan jongkang-jongkit. Ianya merupakan satu kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian murid sendiri.

  • Walaupun guru dan pihak sekolah tidak dipertanggungjawabkan, tetapi kita mesti mengambil iktibar dari kes ini dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan kawasan berhampiran kemudahan sukan dan permainan adalah bebas dari kemungkinan berlakunya kecederaan kepada murid-murid. Jika kerja pembinaan sedang dijalankan atau terdapat bahan pembinaan yang dilonggokkan, kawasan tersebut perlu dipagari dan dijadikan kawasan larangan. Murid-murid perlu diberitahu tentang bahaya di kawasan tersebut.
  • Peraturan-peraturan dan panduan yang diberi dalam Surat Pekeliling 3/1984, Bil.7/1977, Bil. 7/1988, Bil 8/1995 dan Bil. 24/1998 berkenaan aktiviti kebudayaan, “walkaton”, penyertaan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia(MSSM), dan penglibatan aktiviti-aktiviti anjuran agensi kerajaan dan swasta hendaklah diikuti bagi menjamin keselamatan pelajar-pelajar dijaga dan memastikan persekolahan pelajar-pelajar tidak terjejas.
5. Memastikan Keselamatan Trafik Di Kawasan Sekolah

  • Pelajar-pelajar sentiasa berada di kawasan sekolah dan mesti dilindungi dari kemalangan jalan raya.
  • Terutamanya pada masa sebelum kelas bermula dan masa selepas kelas baru tamat setiap hari, ramai pelajar akan berkeliaran di merata tempat sekolah.
  • Pemimpin sekolah perlu mengadakan satu sistem pergerakan trafik yang cekap dan sistem pengawasan yang sesuai untuk mengelakkan kemalangan berlaku.
  • Kawasan sekolah biasanya terhad maka adalah baik sekiranya semua kenderaan ibu bapa dan bas sekolah dilarang masuk ke kawasan sekolah. Mereka dikehendaki mengambil pelajar-pelajar di suatu tempat yang sesuai di luar kawasan sekolah.

Dalam kes Headmistress, Methodist Girls School & Ors. v. Headmaster, Anglo-Chinese Primary School & Anor., sebuah bas sekolah telah melanggar seorang murid dalam kawasan sekolah yang mana jalan-jalannya adalah sempit. Keputusan hakim mahkamah menyalahkan pemandu bas dan pihak sekolah juga dipertanggung-jawabkan bersama (vicariously liable) kerana membenarkan bas tersebut memasuki kawasan sekolah tersebut. Ini bermakna pemimpin sekolah perlu mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memastikan bahawa keadaan trafik di kawasan sekolahnya adalah selamat untuk semua pihak, khasnya para pelajar.
6. Memastikan Keselamatan Kebakaran Sentiasa Dijaga

  • Kebakaran sekolah boleh diakibatkan oleh litar pintas, perbuatan jenayah (arson), kerja-kerja amali di makmal atau bengkel, kecuaian dan lain-lain lagi.
  • Kebakaran yang berlaku di sekolah boleh mengakibatkan kerugian harta benda sekolah dan kehilangan nyawa.
  • Untuk mengelakkan dari dakwaan berhubung dengan kebakaran sekolah, pemimpin sekolah perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengelakkan berlakunya kebakaran seperti menubuhkan:
  • Jawatankuasa Pencegahan kebakaran sekolah;
  • membuat pemeriksaan rapi terhadap sistem pendawaian elektrik;
  • mengadakan hari / minggu pencegahan kebakaran; dan
  • memastikan guru-guru makmal dan bengkel mematuhi prosedur pencegahan kebakaran di makmal dan bengkel masing-masing.
  • Semua penghuni sekolah mesti tahu serta bersedia menangani masalah apabila kes kebakaran berlaku.
Langkah-langkah persediaan menangani keebakaran termasuk memastikan alat-alat pemadam api dan pencegahan kebakaran dalam keadaan baik dan boleh berfungsi pada setiap masa; mengadakan demonstrasi memadam kebakaran dan mangadakan fire drill dengan melibatkan semua murid, guru serta kakitangan sekolah (Rule 49, Schools (General) Regulations, The Registration of Schols Ordinance, 1950);dan, menyediakan pelan keselamatan kebakaran di sekolah. Selain daripada itu, pihak sekolah mesti mengawasi sekolah dengan rapi selepas waktu sekolah untuk menghalang penceroboh masuk yang mungkin mengakibatkan kebakaran sekolah.

Arahan-arahan dan panduan yang diberi dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1978, Bil. 12/1989 dan Bil. 7/2000 hendaklah difahami dan dipatuhi oleh pemimpin sekolah sekolah.
7. Memastikan Keselamatan Sewaktu Membuat Lawatan
  • Lawatan adalah aktiviti yang penting dalam kehidupan seorang pelajar. Malangnya risiko yang terlibat dalam lawatan adalah tinggi juga.
  • Banyak kemalangan seperti terjatuh, kemalangan jalan raya dan mati lemas telah pun terjadi semasa pelajar-pelajar mengadakan lawatan.
Dalam kes Chen Soon Lee v. Chong Voon Pin, seorang murid sekolah telah mati lemas sewaktu rombongan murid sedang bermain bola dalam air di tepi laut. Oleh kerana guru besar dan guru-guru yang berada bersama mereka telah mengambil langkah-langkah pengawasan yang rapi (beyond reasonable care) pada masa itu, tuduhan kecuaian tersebut ditolak oleh hakim Mahkamah Tinggi Miri. Jelas dilihat bahawa Pemimpin sekolah bertanggungjawab untuk memastikan guru-guru tidak cuai dalam penyeliaan aktiviti-aktiviti pelajar semasa lawatan diadakan.

Segala langkah pencegahan berlakunya tradegi mesti diambil untuk melindungi pelajar-pelajar semasa lawatan diadakan. Selain dari itu, pemimpin sekolah harus memastikan guru-guru dan murid-murid sekolahnya mematuhi segala undang-undang dan peraturan (Schols (Tours) Regulations, 1957; Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000; Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.1/1995) berhubung dengan lawatan untuk mengelakkan daripada dakwaan dan melindungi pihak sekolah sekiranya tuduhan dibawa juga ke mahkamah sekiranya sesuatu kemalangan berlaku.

Di antara langkah-langkah pencegahan dakwaan yang boleh diambil oleh pihak sekolah adalah seperti berikut:

(i) Kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga dan pemimpin sekolah untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti lawatan mesti diperolehi sebelum ianya diadakan.

(ii) Jika lawatan itu diadakan di luar negeri asal sekolah, maka kebenaran dari Pendaftar mesti diperolehi sebelum lawatan tersebut diadakan.

(iii) Semua lawatan pelajar mesti diiringi oleh guru. Jika ada murid perempuan yang menyertai lawatan tersebut, maka rombongan tersebut mesti menpunyai guru pengiring perempuan. Pengawasan oleh guru yang munasabah perlu dibuat sepanjang masa lawatan diadakan.

(iv) Maklumat dan arahan-arahan bertulis yang diedarkan kepada pelajar dan ibu-bapa harus teliti dan jelas. Terutamanya risiko yang terlibat mesti jelas dinyatakan.

(v) Pelajar-pelajar membuat persetujuan bertulis untuk berdisiplin baik sewaktu lawatan diadakan.

(vi) Pelajar-pelajar diberitahu bahawa mereka perlu bawa keperluan persendirian yang mencukupi seperti minuman, makanan, alat perlindungan dari cahaya matahari, dan lain-lain.

(vii) Memberi taklimat kepada pelajar dan ibu-bapa tentang lawatan yang akan diadakan.

(viii) Memastikan pelajar dan ibu bapa telah memberi segala maklumat yang penting (misalnya keadaan kesihatan pelajar) kepada sekolah sebelum lawatan diadakan. Pihak sekolah mesti meminta maklumat tersebut daripada setiap ibu bapa pelajar secara bertulis.

(ix) Jika perjalanan melibatkan penggunaan kenderaan, pelajar-pelajar mesti diarah untuk memasangkan tali pinggang keledar pada setiap masa.

(x) Pihak sekolah mesti bersedia untuk mengatasi segala kemalangan yang mungkin berlaku.
8. Memastikan Kebersihan Makanan dan Kesihatan Murid Dijaga

  • Peraturan Schools (General) Regulations, The Registration of Schools Ordinance, 1950 menghendaki pihak sekolah mementingkan aspek kebersihan, keceriaan dan kesihatan guru-guru, murid-murid dan kemudahan-kemudahan fizikal sekolah.
  • Makanan dan minuman yang disediakan atau dibekalkan di kawasan sekolah, sama ada di kantin, di dapur sekolah atau pun makanan yang dibekalkan dalam Rancangan Makanan Tambahan dan Program Susu Sekolah, mesti bersih dan sesuai bagi menjaga kesihatan semua pihak.
  • Keracunan makanan di sekolah kebelakangan ini telah melibatkan kanak-kanak sekolah amat membimbangkan. Punca keracunan makanan adalah daripada makanan yang siap masak dijual di kantin sekolah.

Pemimpin sekolah sekolah perlu memastikan makanan di sekolah selamat digunakan oleh semua pihak supaya tidak mendatangkan masalah kesihatan seperti keracunan makanan.

  • Pengurus sekolah perlu mengetahui dan memahami langkah-langkah keselamatan yang sepatutnya diambil untuk elak insiden keracunan makanan di premis mereka.
  • Pelajar-pelajar perlu dinasihatkan tentang amalan kebersihan yang perlu untuk menjaga kesihatan diri sendiri.
  • Pekerja dan pembekal makanan juga perlu mengamalkan kebersihan diri, alat-alat dan perkakasan makanan, bangunan dan kemudahan yang digunakan untuk menyediakan makanan.
  • Kecuaian pemimpin sekolah sekolah memastikan langkah-langkah kebersihan diambil boleh mengakibatkan dakwaan yang tidak diingini.
  • [Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/1995, Bil. 5/1988 dan 2/1983 adalah berkaitan.]

Bibliografi

_________ (2002). Akta Pendidikan 1996 (hingga 25 hb Jun 2007). Petaling Jaya: International Law Book Services.

_________(1991). Contoh Kes-Kes Tatatertib. Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Awam.

Mohd. Ismail Othman (2006). Undang-Undang Untuk Pemimpin Sekolah & Pemimpin Sekolah. Kuala Lumpur:PTS Professional.

Tie Fatt Hee (2002). Undang-Undang Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »