Timbalan Menteri sifatkan tuduhan tidak berasas

15:13:00
KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menyifatkan tuduhan bahawa dirinya cuba untuk mencampuri urusan mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (Sekolah Rendah) adalah tidak berasas dan satu fitnah.

Beliau berkata, tindakan itu secara tidak langsung bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah turut menjejaskan kredibiliti Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).
“Semalam saya telah berkongsi satu kaji selidik mengenai pandangan tentang Mata Pelajaran Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh kementerian dalam akaun Facebook saya. Namun saya amat kesal kerana niat saya untuk menghebahkan usaha MPPK telah disalah tafsirkan.

“Saya amat sedih kerana objektif penubuhan PPKPI yang sepatutnya dipuji kerana mereka dalam usaha untuk menambahbaik modul Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan telah dipolitikkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, penubuhan Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) dibawah MPPK untuk mengkaji pelbagai aspek mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (Sekolah Rendah).

Jelasnya, pasukan tersebut akan dipimpin oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Wan Mohd. Zahid Mohd Noordin dan semua lantikan itu dibuat oleh Menterinya, Dr. Maszlee Malik.
“MPPK merupakan satu badan bebas yang ditubuhkan bagi mengkaji Dasar Pendidikan Negara tanpa campur tangan politik dan penubuhannya juga bersifat profesional serta berperanan untuk menasihati Menteri Pendidikan.

“Sehubungan itu, sebagai timbalan menteri, saya sentiasa menyokong inisiatif kementeriannya untuk memajukan sistem pendidikan negara. Walau bagaimanapun, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada MPPK di atas segala salah faham yang tidak diingini ini,” ujarnya.

Sumber- UTUSAN ONLINE

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »