Tambah masa PdP Bahasa Inggeris bukan fokus PPSMI - NUTP

07:40:00
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan, tempoh pembelajaran bagi subjek bahasa Inggeris ditambah bagi meningkatkan penguasaan komunikasi, kata presidennya Aminuddin Awang.

Ditanya mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang disebut-sebut akan diperkenalkan semula, Aminuddin berkata, ia bukanlah program yang sesuai untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

“Kementerian Pendidikan seharusnya menambah elemen atau jumlah masa bagi pengajaran komunikasi dan sesi praktikal bercakap bahasa Inggeris dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Inggeris di negara kita.

“PPSMI bukanlah ubat sebenar bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

“Pelaksanaan dasar ini sebelum ini ternyata gagal, malah menimbulkan pelbagai masalah kepada murid-murid terutamanya dari luar bandar,” katanya kepada Malaysiakini.
Minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dilaporkan FMT sebagai berkata jemaah menteri ada membincangkan pelaksanaan semula dasar PPSMI tetapi tiada keputusan dibuat.

Muhyiddin yang juga bekas menteri pelajaran ketika mengumumkan pemansuhan program berkenaan pada 2012 menjelaskan, perbincangan tersebut bersifat umum dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Setakat ini, katanya, Kementerian Pendidikan diminta untuk mengkaji pelaksanaan semula dasar kontroversi itu.

Aminuddin yang turut membantah dasar itu dilaksanakan semula berkata, sekolah tidak wajar dipersalahkan apabila kualiti bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tidak memberangsangkan.

“Pihak sekolah hanyalah pelaksana kepada apa yang ditetapkan oleh pihak kementerian.
“Pihak pentadbiran sekolah tidak boleh disalahkan jika mutu bahasa Inggeris belum mencapai tahap yang diharap-harapkan kerana sekolah hanyalah pelaksana kepada apa yang turun daripada kementerian, daripada jabatan pendidikan dan apa yang diarahkan pejabat pendidikan daerah,” katanya lagi.

Pada 21 Jun lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, ia tidak akan dikembalikan semula kerana itu program lama.

Namun, dalam wawancara bersama New Straits Times pada 8 April, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ada menegaskan keperluan untuk subjek sains dan matematik di sekolah diajar dalam bahasa Inggeris.

Semalam, Naib Presiden Umno Khaled Nordin turut tidak bersetuju sekiranya PPSMI dikembalikan dan menyifatkan ia bukan sahaja menunjukkan kegagalan kerajaan untuk tampil dengan dasar yang segar dan baru, malah merupakan langkah mundur.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »