PPSMI tidak akan dikembalikan - Maszlee

20:29:00
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak akan mengembalikan semula dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana itu program lama.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya akan melaksanakan inisiatif baharu bagi meningkatkan kualiti pendidikan, termasuk pengajaran Sains dan Matematik untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Beliau berkata, PPSMI program yang sudah berlalu dan Kementerian Pendidikan akan melaksanakan dasar baharu untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.

“Kita komited bagi pendidikan berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-63 dan pelancaran penerbitan digital DBP, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dibuat Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang akan membantah jika terdapat perancangan untuk melaksanakan semula PPSMI.

Ketika ditanya sama ada subjek Sains dan Matematik akan diajar semula dalam bahasa Inggeris, beliau berkata, kementerian akan memastikan murid bersedia untuk menghadapi IR4.0 dan dilengkapkan dengan ilmu bagi memastikan mereka kalis masa depan.
Mengulas mengenai kebimbangan pejuang bahasa berhubung isu PPSMI dihidupkan semula, Maszlee berkata, pihaknya ingin mengajak semua pihak untuk bersama meningkatkan penguasaan murid terhadap ilmu dan teknologi semasa yang membolehkan mereka berdaya saing pada peringkat global.

“Kita akan memastikan pendidikan yang kita berikan kepada anak kita pendidikan berkualiti dan mereka bersedia menghadapi pasaran global dan cabaran yang begitu hebat pada IR4.0,” katanya.

Sementara itu, Maszlee berkata, pihaknya akan mengatur pertemuan di antara Kementerian Kewangan dengan Sasterawan Negara (SN) bagi membincangkan insentif bagi mengiktiraf golongan berkenaan.

Pada masa sama, Maszlee berkata, pihaknya menyeru supaya universiti awam yang mengambil SN sebagai sasterawan tamu di institusi pendidikan itu supaya memberi mereka elaun bulanan.

“Universiti melakukan anjakan begitu besar sekali dengan mengambil Sasterawan Negara sebagai sasterawan tamu. Setiap universiti ada sasterawan yang menjadi tamu mereka.

“Tetapi saya tidak pasti sama ada mereka memberikan elaun atau tidak kepada SN ini. Saya menyeru supaya diberikan elaun bulanan sebagai penghargaan,” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »