Murid terpaksa buat kerja pembersihan selepas KPM kurangkan tukang bersih?

00:42:00
Imej hiasan 
China Press melaporkan, pengurangan untuk tukang bersih dan pengawal keselamatan adalah mencecah 70 peratus.
Seorang guru besar memberitahu, pengambilan tukang bersih sebelum ini adalah berdasarkan saiz sekolah, tetapi Kementerian Pendidikan menyelaraskan jumlah itu kepada tiga hingga lima orang untuk setiap sekolah dalam usaha untuk menjimatkan kos.

Keadaan itu, menurut guru besar yang tidak dinamakan itu, menyebabkan jumlah tukang bersih di sesetengah sekolah besar berkurangan daripada 12 orang kepada hanya empat orang.

Menurutnya lagi, tambahan beban tugas untuk empat orang tukang bersih yang tinggal juga menyebabkan ada yang memilih untuk berhenti kerana kerja yang terlalu banyak.

Katanya, untuk sekolah Cina, lembaga pengelola sekolah terpaksa mencari dana untuk menggaji tukang bersih sendiri dan gaji setiap orang boleh mencecah RM1,500 sebulan.

“Dalam keadaan tiada pilihan, kami terpaksa meminta murid untuk terlibat dalam kerja pembersihan sekolah.

“Walau bagaimanapun, murid tidak akan dipanggil untuk mengendalikan sampah atau mencuci tandas, tetapi lebih kepada pembersihan koridor dan dewan di bawah pimpinan cikgu,” katanya.
Menurut guru besar itu lagi, pengurangan dua atau tiga orang tukang bersih boleh diterima pihak sekolah.

“Ia bagaimanapun adalah kurang munasabah untuk mengurangkan jumlah daripada 12 tukang bersih kepada hanya empat orang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik difahamkan akan meminta peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

Sumber – MalaysiaGazette

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »